BOTA 5 Ogos - Siapa sangka hasil kraftangan anak-anak orang kurang upaya (OKU) Pusat Pemulihan Dalam Komuniti (PDK) Titian Harapan Bota Kanan di sini mendapat perhatian apabila sentiasa ditempah pelanggan.
Seramai 25 anak-anak istimewa dewasa ini dilatih dengan kemahiran menghasilkan kraftangan seramik dan anyaman.
Antara yang dihasilkan ialah bekas letak sabun, fridge magnet, tempat meletak lilin dan paling menarik ialah hiasan tuntung.
Tuntung merupakan identiti Bota di mana tempat menetas haiwan ini terletak di sini.
Pengerusi PDK Bota, Sabree Ahmad berkata, para peserta dibahagikan mengikut kemampuan yang bersesuaian untuk dibimbing oleh para petugas.
Menurut beliau, anak-anak istimewa ini antaranya dalam kategori yang mengalami masalah pendengaran, pertuturan dan pembelajaran.
"Program ini mendapat kerjasama sepenuhnya daripada Jabatan Kraftangan negeri Perak di Kuala Kangsar melalui latihan dan bimbingan kepada para petugas.
"Hasil kraftangan ini pernah dibawa ke beberapa tempat termasuk pameran di Kuala Lumpur dan sambutannya luar biasa.
"Pihak Jabatan Kraftangan Perak memang mahu hasil kraftangan ini diperbanyakkan cuma kemampuan para pelajar ini terhad mengikut kemampuan mereka.
"Apa yang membanggakan, hasil-hasil kraftangan PDK ini mendapat permintaan tinggi apabila laku ditempah lebih awal sebelum dapat disiapkan," ujarnya kepada DagangNews.com.
PDK Bota dibuka empat hari seminggu iaitu peserta hadir ke sini dari pukul 8 hingga 12 tengahari dan tiada operasi pada hari Jumaat.
Justeru, program menghasilkan hiasan seramik ini juga sebagai serampang dua mata iaitu memberi latihan kepada para peserta, menjana pendapatan dan menjadi tarikan pelancongan.
Sementara itu, petugas PDK, Rosnani Ishak, 54, memberitahu, dia membimbing sembilan peserta OKU bagi menghasilkan kraftangan anyaman seperti beg tangan, bekas tisu, tudung saji dan beg cenderahati.
Katanya, sebuah tudung saji mengambil masa tiga hari untuk disiapkan manakala beg tangan pula menggunakan material plastik jaring.
"Anggaran harga beg tangan ialah RM12 hingga RM35, bekas tisu (RM12) dan tudung saji (RM60).
"Raja Puan Besar Perak, Raja Nazhatul Shima Sultan Idris antara orang kenamaan yang pernah melawat ke sini dan amat meminati anyaman tudung saji hasil kraftangan anak-anak istimewa ini," ujarnya. - DagangNews.com