KSM nafi terlibat, video tular adalah rakaman kilang ayam 2019 | DagangNews Skip to main content

KSM nafi terlibat, video tular adalah rakaman kilang ayam 2019

Kementerian Sumber Manusia (KSM)

Oleh MUHAMMAD ARIEF CHE SOH
arief@dagangnews.com

 

 

KUALA LUMPUR 9 Julai - Kementerian Sumber Manusia (KSM) menegaskan bahawa pihaknya sama sekali tidak pernah terlibat dalam operasi penguatkuasaan melibatkan pekerja asing sebuah syarikat pengeluar sarung tangan getah yang tular di media sosial Facebook.

 

KSM berkata, hasil siasatan pihaknya mendapati bahawa video berkenaan merupakan video lama bertarikh September 2019 yang melibatkan sebuah kilang memproses ayam di Merlimau, Melaka. 

 

"Keadaan yang dirakamkan merupakan situasi akibat kebocoran gas ammonia dalam kilang tersebut dan bukanlah di premis kilang pengeluar sarung tangan getah.

 

"KSM juga dimaklumkan bahawa pihak Polis DiRaja Malaysia (PDRM) cawangan IPD Melaka Tengah telah menerima laporan berhubung video yang sedang tular tersebut dan pihak mereka sedang menyiasat perkara berkenaan di bawah Seksyen 112 KPJ," jelas KSM dalam satu kenyataan hari ini.

 

Menurut laporan semasa kejadian, pihak polis dan bomba cawangan Merlimau yang berada di lokasi berkenaan telah bertindak mengarahkan para pekerja untuk keluar daripada kilang memandangkan gas tersebut telah mula tersebar melalui udara. 

 

Salah seorang pekerja yang menyedari ada pihak merakam situasi mereka cuba bergurau dengan menyatakan seolah-olah mereka sedang dikejar sepertimana pekerja asing tanpa izin (PATI) melarikan diri.

 

Dalam kenyataan sama, KSM memberitahu, kejadian yang dirakam dalam video tersebut juga telah disahkan secara berdokumen oleh pihak polis Merlimau dan pihak Jabatan Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan (JKKP) cawangan Melaka. - DagangNews.com