KTMB lancar 'Syoknya Naik Kereta Api' promosi Cuti-cuti Malaysia April-Jun 2021 | DagangNews Skip to main content

KTMB lancar 'Syoknya Naik Kereta Api' promosi Cuti-cuti Malaysia April-Jun 2021

 

KUALA LUMPUR 14 Mac –  Keretapi Tanah Melayu Berhad (KTMB) dengan kerjasama Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya Malaysia (MOTAC) akan mengadakan kempen promosi Cuti-Cuti Malaysia selama 3 bulan bermula 1 April 2021 hingga 30 Jun 2021 dan tiket boleh mula diberi mulai 15 Mac 2021.

 

Pengguna Perkhidmatan Tren Elektrik (ETS) layak untuk mendapat diskaun RM10 bagi setiap tiket dengan hanya menggunakan kod promo CUTIKERETAPI.   

 

Selaras dengan pelancaran kempen ini, KTMB juga ingin memaklumkan jualan tiket bagi perkhidmatan ETS untuk perjalanan mulai 1 April hingga 30 September 2021 akan dibuka mulai esok, 15 Mac.

 

Sebanyak 24 perkhidmatan ETS disediakan dengan menggunakan jadual waktu sedia ada.

 

Jualan tiket ini dibuka bagi membolehkan orang ramai membuat perancangan awal untuk bercuti di dalam negeri, tertakluk kepada arahan semasa oleh pihak kerajaan.

 

Orang ramai boleh merebut peluang keemasan ini dengan menggunakan kod promo apabila membuat pembelian secara dalam talian.

 

Para pengguna digalakkan membeli tiket lebih awal bagi mendapatkan kadar tambang yang lebih rendah dan penjimatan berganda.

 

Mereka juga boleh membuat pemilihan tempat duduk sekiranya membuat pembelian tiket lebih awal, berbanding pembelian pada saat akhir.

 

Untuk mendapatkan promosi ini, tiket boleh dibeli melalui aplikasi KTMB Mobile (KITS) atau menerusi laman web KTMB. - DagangNews.com