Kumpulan bank Switzerland, UBS muncul mendadak sebagai pemegang saham besar dalam Boustead Plantation | DagangNews Skip to main content

Kumpulan bank Switzerland, UBS muncul mendadak sebagai pemegang saham besar dalam Boustead Plantation

KUALA LUMPUR 7 Dis - Dalam satu langkah mengejut, bank pelaburan multinasional yang berpangkalan di Switzerland, UBS Group telah muncul sebagai pemegang saham besar dalam Boustead Plantations Bhd (BPlant), yang sedang diswastakan, dengan 5.36% kepentingan, atau 120.06 juta saham.

 

UBS pada mulanya telah memperoleh 20.71 juta saham dalam BPlant, bersamaan dengan 0.92% kepentingan, pada 10 November 2023, yang meningkatkan pegangannya kepada 5.21%, atau 116.67 juta saham, melebihi 5% minimum definisi pemegang saham yang besar, menurut kepada Peraturan-Peraturan Industri Sekuriti (Pelaporan Pegangan Saham Substantial) 1998.

 

Berikutan itu, UBS terus berdagang dalam saham itu dari 14 November hingga 30 November lalu, menyasikan pegangan sahamnya berjumlah 5.36% pada 6 Disember 2023, menurut makluman BPlant di Bursa Malaysia.

 

Menurut Bloomberg, UBS kini merupakan pemegang saham ketiga terbesar dalam BPlant selepas Lembaga Tabung Angkatan Tentera (LTAT) (43.59%) dan Boustead Holdings Bhd (24.42%), diikuti Kuala Lumpur Kepong Bhd (KLK) (3.09%).

 

Pemerolehan saham awal berlaku pada hari yang sama dana pencen Angkatan Tentera membuat tawaran pengambilalihan mandatori tanpa syarat untuk saham BPlant yang tidak dimilikinya, pada RM1.55 sesaham, untuk BPlant diambil alih secara persendirian.


 

ubs

 


Ini berikutan perjanjian LTAT dengan Boustead Holdings untuk memperoleh 739.2 juta saham atau 33% kepentingan dalam BPlant, selepas bidaan pengambilalihan RM1.15 bilion oleh KLK gagal pada Oktober.

 

Kementerian Kewangan telah bersetuju memberikan jaminan kerajaan kepada LTAT untuk membuat pinjaman RM2 bilion bagi melaksanakan tawaran am.

 

KLK pertama kali mengumumkan pada 24 Ogos bahawa ia merancang untuk mengambil alih 33% pegangan pada harga RM1.15 bilion atau RM1.55 sesaham, dan akan melanjutkan tawaran am mandatori dengan rancangan untuk meningkatkan pegangannya kepada 65%.

 

LTAT dan Boustead Holdings, sementara itu, akan memiliki baki 35%, dengan BPlant diambil alih secara persendirian.

 

Pemimpin pembangkang mendakwa perjanjian itu tidak sesuai dengan matlamat kerajaan untuk mencapai sasaran ekuiti korporat Bumiputera sebanyak 30% menjelang 2025, seperti yang digariskan dalam Rancangan Malaysia Ke-12.

 

Sementara itu, Boustead Holdings, yang diswastakan oleh LTAT awal tahun ini, memerlukan RM800 juta untuk memenuhi obligasi hutangnya. - DagangNews.com