KUALA TERENGGANU 11 Jan - Eastern Pacific Industrial Corporation (EPIC) Berhad, anak syarikat milik kerajaan negeri Terengganu menyasarkan perolehan sebanyak RM379.1 juta untuk tahun 2023, terutamanya daripada segmen tenaga boleh diperbaharui (RE).
Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan EPIC, Ridzuan Ali berkata, sasaran itu adalah peningkatan 12 peratus berbanding perolehan pada tahun 2022 iaitu sebanyak RM339.6 juta.
Menurutnya, dengan anggaran perolehan yang lebih tinggi itu, keuntungan bersih selepas cukai (PAT) juga dijangka meningkat kepada RM8.7 juta pada tahun 2023 berbanding RM6.1 juta pada tahun lalu.
"Jangkaan segmen perolehan tertinggi ialah dari operasi di Pelabuhan Kemaman, perkhidmatan kejuruteraan dan daripada segmen tenaga boleh diperbaharui (RE) iaitu tenaga solar.
"Pangkalan Bekalan Kemaman (PBK) dijangka terus menerima limpahan peningkatan aktiviti minyak dan gas, aktiviti daratan (onshore) dan luar pesisir (offshore) serta peningkatan dalam kadar sewaan fasiliti hartanah.
"Aktiviti penggerudian pula dijangka meningkat pada kadar purata lapan kali sebulan yang bakal menyumbang kepada penggunaan kapal yang lebih tinggi sekaligus mendorong aktiviti pangkalan bekalan dan perolehan untuk PBK.
"Selain itu, pemasangan dua kren gantri (gantry crane) di Dermaga Timur (East Wharf), jumlah pengendalian kargo bagi operasi pelabuhan juga dianggarkan meningkat sebanyak 31 peratus," katanya.
Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas menghadiri majlis minum petang anjuran Kumpulan EPIC untuk meraikan pengamal media Terengganu yang dirasmikan Menteri Besar, Datuk Seri Dr Ahmad Samsuri Mokhtar di sini semalam.
Mengulas lanjut, Ridzuan berkata, pada tahun lalu, Kumpulan EPIC menganggarkan perolehan sebanyak RM339.6 juta iaitu peningkatan 16 peratus berbanding RM292.2 juta yang direkodkan pada tahun 2021.
Menurutnya, 70 peratus daripada perolehan itu ialah melalui keseluruhan operasi di Pelabuhan Kemaman iaitu RM238.3 juta diikuti perkhidmatan kejuruteraan pula sebanyak RM90.3 juta (27 peratus) dan tenaga solar sebanyak RM11 juta (tiga peratus).
"Walau berdepan pelbagai cabaran pada tahun 2022, hasil perolehan yang lebih tinggi serta pelbagai langkah pengoptimuman kos, keuntungan sebelum cukai (PBT) Kumpulan EPIC berjaya dinaikkan sebanyak 16 peratus kepada RM26.2 juta daripada jumlah RM22.6 juta yang dicatatkan pada tahun sebelumnya.
"Keuntungan bersih selepas cukai (PAT) pula meningkat kepada RM6.1 juta daripada RM2.8 juta pada tahun 2021.
"Pertumbuhan perolehan yang direkodkan bagi tahun 2022 adalah sumbangan pencapaian yang memberangsangkan oleh EPIC OG Sdn Bhd iaitu anak syarikat EPIC yang terlibat dalam menyediakan perkhidmatan kejuruteraan dan penyelenggaraan khususnya bagi operasi sektor minyak dan gas serta perolehan tinggi dari PBK," katanya.
Tambahnya, sebagai syarikat milik kerajaan (GLC) di Terengganu, adalah menjadi keutamaan EPIC untuk memastikan semua aktiviti-aktiviti syarikat memberikan pulangan yang menguntungkan untuk terus menyumbang hasil kepada pembangunan dan pertumbuhan sosio-ekonomi negeri Terengganu yang mampan dan sejahtera.
Menurutnya, pihak pengurusan juga komited untuk memainkan peranan dalam memastikan momentum perancangan dan pembangunan perniagaan sentiasa unggul dan kukuh dalam usaha untuk memaksimumkan pendapatan, meningkatkan produktiviti dan seterusnya memperkenalkan inisiatif-inisiatif baharu untuk mengurangkan kebergantungan kepada segmen pasaran tunggal.
"EPIC juga akan terus menumpukan usaha untuk menjadi terus efisyen dan cemerlang di setiap perkhidmatan dan servis dalam bidang minyak & gas, logistik dan juga segmen perniagaan tenaga hijau boleh diperbaharui (renewable energy)," katanya.
Sepanjang 2022, Kumpulan EPIC telah membelanjakan hampir RM2.5 juta untuk pelbagai inisiatif program, projek tanggungjawab sosial korporat (CSR), sumbangan dan juga tajaan bagi menyokong golongan yang memerlukan selain memacu pembangunan masyarakat di Terengganu. - DagangNews.com