Kumpulan Kitacon rekod untung bersih RM8.53 juta bagi 3QFY22 | DagangNews Skip to main content

Kumpulan Kitacon rekod untung bersih RM8.53 juta bagi 3QFY22

oleh NOR AZAN FITRI AHMAD HIDZIR

KUALA LUMPUR 12 Jan - Kumpulan Kitacon Berhad merekodkan untung bersih RM8.53 juta untuk suku ketiga berakhir 30 September 2022 (3QFY22) dengan pendapatan sebanyak RM116.1 juta.

 

Penyedia perkhidmatan pembinaan itu berkata, bagi tempoh sembilan bulan, mereka berjaya mencatat RM35.2 juta untung bersih dan RM350.8 juta hasil.

 

Pengarah Urusan Kitacon, Tan Ah Kee dalam satu kenyataan berkata segmen kediaman merupakan penyumbang utama kepada pendapatan kumpulan dengan RM306.6 juta.

 

"Kami gembira dengan prestasi kewangan kami pada 3QFY22 setakat ini walaupun menghadapi cabaran besar dalam industri pembinaan termasuk kekurangan pekerja asing untuk menjalankan aktiviti pembinaan dan kenaikan harga bahan binaan seperti keluli dan konkrit.

 

“Sebagai sebahagian daripada langkah proaktif kami dalam mengatasi isu buruh, kami telah memeterai perjanjian penempatan pekerja asing Indonesia untuk pengambilan pekerja binaan asing secara progresif,” katanya.

 

Kitacon dijadualkan disenaraikan di Pasaran Utama Bursa Malaysia pada 17 Januari 2023.

 

Kumpulan itu menyasarkan untuk mengumpul RM51.74 juta daripada tawaran awam permulaan (IPO) dengan terbitan baharu sebanyak 76.09 juta saham pada 68 sen setiap satu.

 

Ah Kee berkata, kumpulan itu kekal optimis terhadap prospek perniagaannya.

 

"Melangkah ke hadapan, kami akan terus mengemukakan bidaan untuk projek dengan tujuan untuk membina buku pesanan kami dan memanfaatkan kekuatan kami dalam pembinaan bangunan," katanya.

 

Sehingga 30 November 2022, kumpulan itu mempunyai 35 projek pembinaan yang sedang berjalan dan projek tertunggak kira-kira RM853.6 juta berdasarkan nilai kontrak belum dibilkan, yang dijangka mengekalkan perniagaannya sehingga 2024. - DagangNews.com