Kumpulan Naza ambil alih 100% kepentingan Berjaya Enviro pada harga RM700 juta, menjadi pemain utama sektor pengurusan sisa | DagangNews Skip to main content

Kumpulan Naza ambil alih 100% kepentingan Berjaya Enviro pada harga RM700 juta, menjadi pemain utama sektor pengurusan sisa

Bukit Tagar Enviro Park
oleh JOHARDY IBRAHIM

KUALA LUMPUR 3 Mei - Naza Corporation Holdings Sdn Bhd (Kumpulan Naza) hari ini mengumumkan pengambil alihan penuh pegangan 100% dalam Berjaya Enviro Holdings Sdn Bhd (BEnviro), sebuah pemain utama dalam industri Pengurusan Sisa.

 

Pengambilalihan ini membuka peluang unik kepada Kumpulan Naza untuk menceburi ekonomi hijau, dan
memanfaat peluang pertumbuhan dalam Sektor Sisa Pepejal Perbandaran (MSW), Sisa Terjadual (SW), dan Sektor ‘Waste To Energy’ (WTE).

 

Pengambil alihan ini merupakan satu mercu tanda penting dalam hala tuju pertumbuhan Naza, dan mengukuhkan kedudukannya sebagai pemain utama dalam Sektor Pengurusan Sisa Malaysia.

 

Ia juga melibatkan pengambil alihan 7 entiti di bawah BEnviro, iaitu, BPJ-Berjaya Sdn Bhd, Berjaya Eco Services Sdn Bhd, Save the Sea Sdn Bhd, Berjaya Enviro Parks Sdn Bhd, Amita Berjaya Sdn Bhd, J&T Berjaya Alam Murni Sdn Bhd dan Berjaya Energies Sdn Bhd

 

Penjualan BEnviro kepada Kumpulan Naza diumumkan pada Julai 2023.

 

Pengerusi Eksekutif Kumpulan Naza, SM Nasarudin SM Nasimuddin berkata, melalui pengambilalihan ini, Naza dapat menawarkan penyelesaian menyeluruh untuk memenuhi keperluan pengurusan sisa Malaysia, dengan memanfaatkan infrastruktur operasi yang luas, kemajuan teknologi, dan tenaga kerja berbakat BEnviro serta tujuh anak syarikatnya.

 

 

SM Nasarudin SM Nasimuddin
     SM Nasarudin SM Nasimuddin

 

 

Pengurusan sisa merupakan asas Ekonomi Hijau, dengan potensi aliran pendapatan stabil, yang tidak terjejas oleh kitaran ekonomi.

 

Pengambil alihan ini mencerminkan dedikasi dan komitmen Naza terhadap pertumbuhan strategik perniagaannya, dengan menceburi dalam penyediaan penyelesaian komprehensif pengurusan sisa, disamping memberi penekanan kepada kelestarian alam sekitar."

 

Kumpulan Naza kini kata SM Nasarudin, meneroka sektor-sektor baru yang sejajar dengan visinya untuk pembangunan mampan, kecekapan sumber, dan penekanan kepada piawaian tertinggi dalam kebertanggungjawaban alam sekitar.

 

"Sektor Pengurusan Sisa, yang merupakan aspek penting Ekonomi Hijau, dijangka akan mengalami pertumbuhan yang besar, sejajar dengan visi Naza," ujar beliau.

 

Perniagaan pengurusan sisa mempunyai aliran pendapatan stabil yang dapat diramalkan dan tidak bergantung kepada kitaran ekonomi. Kedua-dua faktor ini merupakan pertimbangan penting bagi Naza dalam pengambil alihan ini."

 

 

Bukit Tagar Enviro Park

 

 

Naza akan terus mengendalikan Bukit Tagar Enviro Park, sebuah taman eko pengurusan sisa berintegrasi seluas 659 ekar, yang merupakan salah satu daripada tapak pelupusan sanitari terbaik di negara ini.

 

Perniagaan ini juga termasuk operasi ‘gas-to-energy’, yang dapat memperkembangkan kapasiti dalam sektor pengurusan sisa terjadual.

 

Fokus utama Naza dalam bisnes baharu ini termasuk Sisa Pepejal Perbandaran, Sisa Terjadual, dan ‘Waste To Energy’ dengan memfokus kepada kebertanggungjawaban alam sekitar dan kelestarian jangka panjang. - DagangNews.com