Langkah proaktif hadapi risiko kenaikan kadar kos umrah | DagangNews Skip to main content

Langkah proaktif hadapi risiko kenaikan kadar kos umrah

Oleh Nurhaslinda Hashim, Munirah Mohamed & Amirudin Mohd Nor

SEMUA umat Islam menyimpan hasrat dan impian untuk menunaikan ibadah umrah sekurang-kurangnya sekali seumur hidup, di samping mengerjakan kewajipan fardu haji. Pelbagai persiapan telah dirancang terutamanya dari segi kewangan.  

 

Apabila pandemik COVID-19 melanda dunia, aktiviti ibadah umrah telah dihentikan buat sementara waktu bagi mengekang penularan virus tersebut.

 

Sekatan ini menyebabkan kegusaran dan kesedihan semua umat Islam kerana tidak dapat menunaikan ibadah umrah.

 

Namun bermula pada bulan Ogos 2021, kerajaan Arab Saudi telah mula menerima permintaan haji dan umrah dari luar negara.

 

Selari dengan kenaikan permintaan ini, kos ibadah umrah turut meningkat.

 

Pada Oktober 2022, Dr Fathir Badri Alhadad, Presiden Persatuan Solidariti Pengembaraan Dan Agensi Pelancongan Malaysia (SAFTTA) berkata, dianggarkan harga pakej umrah semasa meningkat sebanyak RM1,000 berbanding pakej sebelum. Beliau juga menambah kenaikan kos ini bakal berlarutan sehingga bulan Ramadan 2023.


 

Dr Fathir Badri Alhadad
                Dr Fathir Badri Alhadad

 


Beberapa faktor utama dikenal pasti menyumbang kepada kenaikan ini antaranya perubahan harga tiket penerbangan, pengurusan prosedur operasi standard (SOP), kenaikan harga barang dan perkhidmatan di Arab Saudi dan penurunan nilai mata wang ringgit.

 

Menurut data dari Bank Negara Malaysia (BNM) pada 1 September 2022, 100 Riyal Arab Saudi bersamaan dengan RM119.3081.

 

Manakala pada 28 Oktober 2022, kadar mata wang menjadi kepada RM125.7652 bagi 100 Riyal Arab Saudi. Ini menunjukkan penurunan kadar nilai mata wang ringgit berbanding nilai Riyal Arab Saudi.

 

Susulan itu, berikut merupakan enam langkah proaktif bagi menghadapi kenaikan kos ibadah umrah:

 

  1. Membuat simpanan awal perbelanjaan kos umrah

Kita perlu membuat simpanan awal dengan memperuntukkan sebahagian dari pendapatan berdasarkan sasaran tahun yang dirancang untuk menunaikan umrah.

 

Simpanan ini perlulah berkala dan konsisten agar kita dapat mencapai sasaran yang diharapkan. Bakal jemaah bolehlah membuat simpanan tetap di Tabung Haji atau di mana-mana institusi perbankan yang lain.

 

  1. Memilih agensi berdaftar dan dipercayai

Untuk mengelakkan dari ditipu, kita hendaklah membuat semakan lesen perniagaan agensi pelancongan yang mengendalikan umrah melalui portal rasmi Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya di https://www.motac.gov.my/semakan/umrah.

 

Kita janganlah mudah terpedaya dengan pakej istimewa yang ditawarkan, seeloknya kita menyelidik rekod perkhidmatan umrah terdahulu yang dikendalikan agensi tersebut.

 

  1. Membuat perbandingan kandungan pakej dan kualiti perkhidmatan

Setelah menyenarai pendek agensi pelancongan yang berdaftar, seterusnya kita harus memahami dengan teliti kandungan pakej yang ditawarkan oleh setiap agensi.

 

Perbandingan ini juga mengambil kira kualiti perkhidmatan yang ditawarkan seperti menunaikan umrah di waktu cuti sekolah atau bulan Ramadan, jarak penginapan, jenis pengangkutan, penerbangan transit atau terus, layanan petugas atau mutawif dan kekerapan hidangan makanan.

 

Faktor- faktor ini telah menyumbang kepada perbezaan harga pakej yang ditawarkan. Justeru itu, pemilihan kandungan pakej dan kualiti bolehlah dibuat berdasarkan kepada kemampuan individu.

 

  1. Meminta pandangan dikalangan ahli keluarga atau kenalan

Selain membuat perbandingan peribadi, kita disarankan untuk meminta pandangan mereka yang telah menunaikan umrah sebelum ini. Pengalaman mereka dapat membantu kita untuk membuat keputusan dengan lebih baik.

 

Malah dari mendengar perkongsian mereka memberikan semangat untuk kita pula menunaikan ibadah umrah di sana. Di samping itu, pembacaan perkongsian ibadah umrah di media sosial juga memberikan input yang berguna dan terkini kepada bakal jemaah.

 

  1. Tempahan awal pakej umrah dengan agensi pelancongan

Apabila telah membuat keputusan tarikh untuk menunaikan umrah, kita bolehlah terus berhubung dengan agensi pilihan dan membuat tempahan awal pakej.

 

Harga satu pakej boleh berubah-ubah mengikut kadar semasa, namun sekiranya kita telah membuat tempahan awal, kita dapat menjimatkan sebahagian kos pakej tersebut.

Segala dokumen pembayaran hendaklah disimpan sebagai bukti dan dijadikan sebagai rujukan tempahan. Untuk mendapatkan maklumat terkini, kita hendaklah sentiasa merujuk dan berhubung dengan wakil agensi tersebut.

 

  1. Persediaan kos tambahan

Selain peruntukan wang untuk pakej umrah, kita juga perlu bersedia dengan beberapa kos tambahan seperti pengambilan imunisasi wajib, keperluan pakaian, perubatan, perubahan mata wang dan peraturan SOP Arab Saudi.

 

Sekiranya kita bakal menunaikan umrah bersama ahli keluarga, kos tambahan ini akan meliputi setiap ahli keluarga.

 

Sebagai contoh anggaran kos pengambilan imunisasi wajib iaitu meningococcal quadrivalent vaccine adalah daripada RM150 hingga RM200. Untuk pengambilan imunisasi tambahan seperti influenza dan pneumovax juga memerlukan kos tambahan.


 

umrah

 


Oleh itu, setiap perancangan yang dibuat haruslah disusuli dengan doa dan azam yang kuat agar kita dapat merealisasikan impian untuk menunaikan umrah kelak.

 

Haruslah di ingatkan agar perancangan ini bersesuaian dengan kemampuan diri masing-masing.

 

Selain itu janganlah kita membuat perbandingan kemampuan individu dengan merendahkan pilihan dan keputusan yang telah dibuat.

 

Kerana ia berbalik kepada satu matlamat iaitu menjadi tetamu Allah SWT. Dengan izin yang Maha Esa, perancangan awal ini diharapkan dapat memudahkan urusan bakal jemaah. – DagangNews.com

 

 

Nurhaslinda Hashim, Munirah Mohamed & Amirudin Mohd Nor merupakan Pensyarah Kanan  Fakulti Pengurusan dan Perniagaan UiTM Cawangan Melaka Kampus Bandaraya Melaka