KUALA LUMPUR 9 Feb - Langkah menghentikan peranan ejen pihak ketiga daripada proses pengambilan pekerja asing akan menamatkan perhambaan moden dan menaikkan imej majikan Malaysia, kata Persekutuan Majikan Malaysia (MEF).
Presidennya Datuk Dr Syed Hussain Syed Husman berkata keputusan Kerajaan Perpaduan untuk berhenti menggunakan ejen pihak ketiga adalah tepat pada masanya kerana majikan kini berdepan banyak cabaran lain dalam menguruskan kos perniagaan.
Beliau berkata, keputusan untuk berhenti menggunakan perkhidmatan ejen pihak ketiga akan melibatkan jumlah penjimatan kos kira-kira 80% daripada kos semasa membawa setiap pekerja asing dari negara sumber.
“MEF berterima kasih kepada Kerajaan Perpaduan di bawah kepimpinan Datuk Seri Anwar Ibrahim dalam membantu majikan sektor swasta, dalam pelbagai aspek, memainkan peranannya sebagai enjin pertumbuhan negara.
“Pengurangan kos dalam membawa pekerja asing ke Malaysia akan menyelesaikan salah satu petunjuk utama buruh paksa yang dihadapi majikan Malaysia, iaitu ikatan hutang apabila mereka datang ke Malaysia,” katanya dalam kenyataan di sini hari ini.
Disebabkan penglibatan ejen pihak ketiga, pekerja terpaksa mengambil pinjaman dengan faedah tinggi atau menggadaikan harta mereka untuk membayar yuran pengambilan yang tinggi, sekali gus meletakkan mereka dalam "ikatan hutang".
Syed Hussain menambah bahawa yuran pengambilan yang tinggi yang dikenakan oleh ejen pihak ketiga telah lama menjadi punca utama peningkatan kos bagi pekerja asing yang ingin bekerja di Malaysia.
Beliau juga berkata pengambilan pekerja asing perlu dilakukan atas dasar Government to Government (G to G) bagi memastikan kepentingan dan kebajikan kedua-dua majikan dan pekerja asing terpelihara.
"MEF berharap dasar baharu untuk menamatkan penggunaan ejen pihak ketiga untuk mengambil pekerja asing akan dilaksanakan secepat mungkin supaya usaha majikan untuk memulihkan perniagaan mereka berada di landasan yang betul dan negara berada pada momentum yang tepat untuk sasaran pertumbuhan KDNK antara 4% dan 5% untuk 2023," katanya.
Syed Hussain juga mencadangkan kerajaan membenarkan majikan merekrut secara rasmi pelarian yang memegang kad pelarian UNHCR yang sah, bagi menampung kekurangan pekerja asing semasa.
Beliau berkata mereka boleh dibenarkan bekerja di sektor yang tidak diminati penduduk tempatan.
“Pelarian ini sudah pun berada di negara ini yang terdiri daripada ramai pelarian mahir dan tidak mahir.
"Membenarkan pelarian bekerja tidak akan menarik kos perjalanan kerana mereka sudah berada di negara ini dan mereka secara rasmi akan dikehendaki membayar cukai yang diperlukan kepada pihak berkuasa," tambah Syed Hussain.
Pada Rabu lalu, Anwar berkata beliau mahu Kementerian Dalam Negeri berhenti menggunakan ejen untuk mengambil pekerja asing berikutan kos yang lebih tinggi.
Anwar juga menyebut contoh pekerja asing dari Nepal yang berharga kira-kira RM3,700 seorang berbanding pekerja asing dari Bangladesh dan Indonesia di mana ejen pihak ketiga digunakan yang melibatkan kos antara RM20,000 dan RM25,000 bagi setiap pekerja asing. - DagangNews.com