Lanjutan konsesi balak beri jaminan pendapatan jangka panjang Ta Ann - Maybank IB | DagangNews Skip to main content

Lanjutan konsesi balak beri jaminan pendapatan jangka panjang Ta Ann - Maybank IB

Oleh NOR AZAN FITRI AHMAD HIDZIR

KUALA LUMPUR 9 Mei - Maybank Investment Bank (Maybank IB) positif terhadap lanjutan konsesi balak Ta Ann Holdings Berhad selama 30 tahun dan ia memberikan keterlihatan pendapatan jangka panjang kumpulan bagi segmen itu.

 

Firma itu berkata, difahamkan tiada sebarang perubahan dari segi operasi walaupun terma baharu konsesi tidak diketahui lagi buat masa sekarang.

 

Katanya, anugerah konsesi balak selama 30 tahun itu dilihat sangat positif tetapi ia sudah dijangka.

 

"Lanjutan konsesi itu bukan sahaja memberikan keterlihatan pendapatan jangka panjang kumpulan dan lebih penting ia adalah pengiktirafan terhadap amalam pengurusan hutan lestari mereka," katanya dalam satu nota kajian, hari ini.

 

Firma itu berkata, dari perspektif alam sekitar, konsesi itu akan membantu menyediakan bekalan balak semula jadi yang stabil kepada kumpulan itu sambil memberikan keyakinan kepada pasaran bahawa sumber hutan diurus secara mampan.

 

BACA JUGA: Ta Ann dapat tambahan 30 tahun lagi kelulusan lesen konsesi balak

 

Sementara itu, konsesi hutan tanamnya seluas 30,971 hektar (tamat tempoh pada 2057), ditanam dengan kebanyakan spesies yang berkembang pesat, semakin memainkan peranan yang lebih besar dalam meningkatkan jumlah pengeluaran balak mampan yang menyumbang 30% daripada jumlah pengeluaran balak kumpulan pada 2022 (2021: 20%).

 

"Dalam Laporan Tahunan 2022 yang diterbitkan baru-baru ini, ia menekankan bahawa tiga lesen Unit Pengurusan Hutan (FMU) aktifnya, iaitu FMU Kapit, FMU Pasin dan FMU Raplex, meliputi kawasan seluas 346,021 hektar telah diperbaharui untuk tempoh 30 tahun sehingga 2053.

 

"Sebelum ini, lesen ini diperbaharui buat sementara waktu setiap tahun (sejak 2015 untuk beberapa kawasan konsesi) kerana kumpulan itu telah menyatukan dan menggabungkan lesen kayunya di wilayah Song-Kapit sejak 2014 apabila ia memulakan perjalanan kelestarian ke arah pensijilan pengurusan hutan MTCS PEFC," katanya.

 

Firma itu mengekalkan saranan 'beli' dengan harga sasaran (TP) RM3.72 sesaham. - DagangNews.com