Lebih 20,000 pelajar nikmati pembiayaan pendidikan TNB berjumlah RM1.7 bilion sejak 20 tahun lalu | DagangNews Skip to main content

Lebih 20,000 pelajar nikmati pembiayaan pendidikan TNB berjumlah RM1.7 bilion sejak 20 tahun lalu

Dato’ Sri Hasan Arifin (tengah) diiringi Wahizan Abdul Rahman (kanan) dan Mohamad Nor Azali Lajin (paling kanan) menyampaikan anugerah kepada penerima TNB Prime Scholarship, Adriana Dafinah Adrin Azrul (Asasi Pengurusan Bisnes), 18, pada Majlis Penyampaian Anugerah Tajaan Pendidikan YTN bagi pelajar UNITEN Kampus Sultan Haji Ahmad Shah pada 22 Oktober 2022.

KUALA LUMPUR 28 Okt - Lebih 20,000 pelajar mendapat manfaat meneruskan pengajian di institusi pengajian tinggi melalui pelbagai pembiayaan pendidikan Tenaga Nasional Berhad (TNB), berjumlah lebih RM1.7 bilion sepanjang 20 tahun lalu sejak penubuhan Yayasan Tenaga Nasional (YTN) pada 1993.

 

Pembiayaan itu adalah dalam bentuk biasiswa dan dermasiswa yang dikenali sebagai TNB Prime Scholarship, TNB Shine Sponsorship, Dermasiswa My Brighter Future (MyBF) dan terbaru, Biasiswa Khas TNB untuk anak-anak Orang Asli.

 

Pengerusi TNB, Dato’ Sri Hasan Arifin menegaskan TNB komited menyokong usaha kerajaan membantu rakyat melalui pelbagai inisiatif, terutamanya membangunkan potensi generasi muda dan meningkatkan taraf hidup rakyat menerusi peluang pendidikan berkualiti.

 

"Penajaan pendidikan ini adalah peluang keemasan bagi penerimanya untuk menekuni disiplin ilmu di institusi pengajian tinggi di samping membangunkan potensi diri, di mana manfaatnya bukan sahaja dinikmati oleh diri sendiri tetapi turut dirasai oleh ahli keluarga pelajar," katanya.

 

Beliau berucap di Majlis Penyampaian Anugerah Tajaan Pendidikan YTN bagi pelajar UNITEN Kampus Sultan Haji Ahmad Shah, Bandar Muadzam Shah, Pahang, 22 Oktober 2022.

 

Yang turut hadir ialah Ketua Pegawai Insan TNB, Wahizan Abdul Rahman dan Pengarah YTN, Mohamad Nor Azali Lajin.


 

TNB
Penerima-penerima TNB Prime Scholarship, TNB Shine Sponsorship dan Biasiswa Khas TNB bersama dengan Pengerusi TNB, Dato’ Sri Hasan Arifin pada Majlis Penyampaian Anugerah Tajaan Pendidikan YTN bagi pelajar UNITEN Kampus Sultan Haji Ahmad Shah, Bandar Muadzam Shah, Pahang pada 22 Oktober 2022.

 


Pada tahun ini, seramai 470 pelajar menikmati pembiayaan meliputi 60 penerima TNB Prime Scholarship, TNB Shine Sponsorship (30) dan Biasiswa Khas TNB (10). Seramai 370 lagi adalah penerima MyBF dalam kalangan golongan berpendapatan rendah B40.

 

Ketika ini, lebih 6,200 pelajar tajaan YTN sedang mengikuti pengajian di institusi pengajian tinggi dengan biaya sebanyak RM100 juta merangkumi antaranya yuran pendaftaran, yuran pengajian, elaun sara hidup bulanan dan elaun komputer.

 

Menurut Hasan, adalah menjadi hasrat TNB untuk memberi sumbangan bermakna kepada pembangunan komuniti dan peluang pendidikan terbaik kepada rakyat, terutamanya golongan berpendapatan rendah selari dengan inisiatif Peralihan Tenaga TNB yang berteraskan Alam Sekitar Sosial dan Tadbir Urus (ESG).

 

"Pada tahun ini, TNB melalui YTN menawarkan biasiswa kepada anak-anak Orang Asli untuk mengikuti pengajian peringkat diploma dalam bidang perakaunan dan pengajian bisnes di UNITEN Muadzam Shah.

 

“Saya percaya jika diberi peluang penajaan di samping dibimbing oleh tenaga pengajar yang berkualiti, anak-anak ini mampu untuk berjaya, seterusnya membina kehidupan lebih baik untuk keluarga dan masyarakat keseluruhan,” katanya.

 

 

TNB

 

 

YTN menerima lebih 10,800 permohonan daripada pelajar lepasan SPM tahun ini untuk mendapatkan biasiswa TNB Prime Scholarship dan TNB Shine Sponsorship. Pemilihan adalah berdasarkan kecemerlangan akademik, kepimpinan dan penglibatan aktif dalam ko-kurikulum.

 

Bagi Biasiswa Khas TNB, YTN bekerjasama dengan UNITEN dan Jabatan Kemajuan Orang Asli untuk mengenalpasti para pelajar yang cemerlang dalam peperiksaan SPM lalu untuk ditawarkan biasiswa.

 

Selain pembiayaan kewangan, YTN turut menyediakan program-program pembangunan untuk pelajar tajaan dengan hasrat membangunkan potensi mereka dari sudut kemahiran insaniah dan kepimpinan. - DagangNews.com