Lebih 500,000 individu berjaya mendapatkan pekerjaan melalui 27 inisiatif kerajaan - PM | DagangNews Skip to main content

Lebih 500,000 individu berjaya mendapatkan pekerjaan melalui 27 inisiatif kerajaan - PM

Oleh NOR AZAN FITRI AHMAD HIDZIR
azan@dagangnews.com

 

KUALA LUMPUR 12 Dis - Seramai 500,257 pencari kerja telah berjaya mendapat peluang pekerjaan melalui 27 inisiatif yang dilaksanakan kerajaan menerusi Majlis Pekerjaan Negara (NEC) setakat 3 Disember lalu.

 

Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, angka tersebut berjaya melangkui jumlah 500,000 peluang pekerjaan yang telah ditetapkan oleh Kementerian Kewangan melalui Belanjawan 2021.  

 

Beliau berkata, antara inisiatif utama yang menyumbang kepada pencapaian kejayaan dalah menerusi Program Insentif Pengambilan Pekerja (PenjanaKerjaya) dan Malaysia Short Term Employment Programme (MySTEP). 

 

"Sejak program PenjanaKerjaya 2.0 dan MySTEP mula dilaksanakan pada Januari 2021, jumlah pekerjaan yang disediakan sentiasa mengatasi sasaran bulanan yang ditetapkan. 

 

"Selain PenjanaKerjaya 2.0 dan MySTEP, kerajaan juga berjaya mewujudkan lebih 123,312 pekerjaan baharu melalui pelaburan dalam negara dan 74.2% daripadanya dalam kategori mahir dan separuh mahir. 

 

"Kejayaan ini lebih bermakna memandangkan pasaran buruh menghadapi pelbagai cabaran getir akibat penularan COVID-19 sejak Mac 2020, sehingga pengangguran melonjak kepada kadar tertinggi 5.3% pada Mei 2020," katanya dalam satu kenyataan, hari ini. 

 

Ismail Sabri berkata, kerajaan menerusi inisiatif JaminKerja Keluarga Malaysia (JaminKerja) akan menyediakan 600,000 peluang pekerjaan dengan peruntukan berjumlah RM4.8 bilion dengan RM2 bilion akan diperuntukan kepada Pertubuhan Keselamatan Sosial (PERKESO) untuk usaha pengambilan pekerja.

 

Perdana Menteri berharap, usaha yang dilakukan bersama PERKESO itu akan mewujudkan 300,000 peluang pekerjaan baharu pada tahun hadapan.

 

"Inisiatif MySTEP akan memberikan tawaran 80,000 peluang pekerjaan secara kontrak merangkumi 50,000 pekerjaan dalam sektor awam dan 30,000 pekerjaan dalam GLC (syrikat berkaitan kerajaan) dan rakan-rakan strategik mereka mulai Januari 2022," katanya.

 

Perdana Menteri berkata, perkembangan itu sekaligus dapat memperkasakan pendapatan isi rumah Keluarga Malaysia terutama kumpulan asnaf, B40 dan M40. 

 

Beliau berkata, kerajaan memastikan mereka yang kehilangan pekerjaan dapat memulihkan penjanaan pendapatan isi rumah Keluarga Malaysia. -DagangNews.com