Lebih 70% pengguna Malaysia beli-belah guna media sosial, jauh atasi purata global - Indeks Adyen | DagangNews Skip to main content

Lebih 70% pengguna Malaysia beli-belah guna media sosial, jauh atasi purata global - Indeks Adyen

Tinjauan Adyen dapati 3% pengguna Malaysia guna media sosial untuk beli-belah. Gambar hiasan
Oleh M. HERMAN HAMID

KUALA LUMPUR 29 Mei - Sebanyak 73% pengguna Malaysia menggunakan media sosial untuk membeli-belah, jauh lebih tinggi daripada purata global sebanyak 44%, kata tinjauan Adyen, sebuah syarikat penyedia platform teknologi kewangan global.

 

"Rakyat Malaysia juga membeli-belah di platform itu kira-kira enam kali sebulan," kata Adyen.

 

Indeks Adyen melibatkan tinjauan terhadap lebih 38,000 orang pembeli dan 13,000 buah peniagaaan di 26 buah negara termasuk Malaysia.

 

Firma penyelidikan itu juga mendapati bahawa golongan milenial berkemungkinan menjadi pengguna pembeli terbesar di platform media sosial berbanding mana-mana kumpulan umur lain, dengan 80% mengaku telah membuat transaksi dalam 12 bulan lepas.

 

Pengguna Gen Z mencatat pertumbuhan terbesar, daripada semua pengguna Gen Z yang telah membeli-belah di media sosial sejak 12 bulan lepas, 17% adalah pembeli kali pertama.

 

adyen

 

Kata Adyen, ,menyedari potensi pertumbuhan tersebut, perniagaan telah menyesuaikan diri dengan strategi agar sejajar dengan pilihan pelanggan yang semakin berkembang.

 

"Sebanyak 73% peruncit Malaysia melaporkan pertumbuhan hasil selepas terlibat dengan perdagangan sosial," katanya.

 

Berdasarkan tinjauan itu, 45 peratus pengguna turut menyatakan kesetiaan kepada peruncit yang memudahkan pembelian terus melalui platform media sosial, menekankan keperluan untuk pelbagai pengalaman saluran yang lancar dalam memupuk kesetiaan pelanggan.

 

 

adyen
Infografik Adyen mengenai pembelian di media sosial.

 

 

ARTIKEL BERKAITAN: Lee Soon Yean dilantik sebagai Pengurus Negara Adyen baharu

 

Sementara itu, Ideks Adyen 2024 itu mendapati Malaysia menerajui dunia dalam penggunaan dompet mudah alih dengan 63% rakyat Malaysia menggunakan kemudahan tersebut untuk membeli-belah.

 

Ini adalah kadar penggunaan tertinggi di seluruh dunia, menurut Ideks Adyen 2024 -  tinjauan berasaskan laporan runcit termasuk daripada 1,000 pengguna dan 500 perniagaan di Malaysia yang dijalankan mulai 15 Januari hingga 1 Februari 2024.

 

Adyen berkata pengguna Malaysia sedang beralih daripada dompet fizikal, dengan 41% kini bergantung pada penyelesaian berdaya mudah alih seperti sentuh untuk bayar.

 

"Pembeli Malaysia cenderung kepada kaedah pembayaran yang cepat dan mudah, merangsangkan lagi permintaan bagi pengalaman dalam kedai yang diperkemas seperti kiosk serta pembayaran satu klik," katanya.

 

Pengurus Negara Adyen Malaysia, Soon Yean Lee berkata, penemuan baru-baru ini mendedahkan peralihan ketara ke arah pembayaran digital serta perdagangan sosial dengan pengguna Malaysia menerajui trend global dalam penggunaan dompet mudah alih.

 

"Untuk mengekalkan kesetiaan pelanggan dan mengekalkan daya saing, perniagaan mesti lincah dalam memenuhi keutamaan penggunaan yang berubah-ubah ini," katanya.- DagangNews.com