Lebih 90% khuatir guna pengangkutan awam ketika COVID-19 | DagangNews Skip to main content

Lebih 90% khuatir guna pengangkutan awam ketika COVID-19

WapCar

 

Oleh MUHAMMAD ARIEF CHE SOH
arief@dagangnews.com

KUALA LUMPUR 10 Ogos - Lebih 90% daripada rakyat Malaysia khuatir untuk menggunakan pengangkutam awam ketika dunia masih berdepan dengan wabak COVID-19.

Menurut tinjauan yang dijalankan oleh sebuah hab kandungan automotif berlandaskan teknologi terkini, WapCar, sebanyak 57.9% daripada responden memilih untuk tidak menaiki pengangkutan awam pada masa ini.

"32.7% yang lain tetap akan menggunakan pengangkutan awam dan akan mengelak sekiranya diberi pilihan," jelas WapCar dalam satu kenyataan hari ini.

WapCar menjalankan kajian tersebut selama seminggu pada Julai 2020 bagi memahami kebimbangan pembeli kereta dan kemampuan industri automotif untuk memenuhi permintaan semasa. 

Dalam tinjaun sama di bawah ketegori model kereta berpatutan yang disertai oleh 318 responden itu, 55.4% daripadanya akan mempertimbangkan semula perancangan untuk membeli kereta baharu dalam tempoh enam bulan akan datang.

WapCar

Jelas WapCar, kajian itu juga menyokong laporan yang dikeluarkan Persatuan Automotif Malaysia (MAA) yang menunjukkan trend penjualan kereta lebih tertumpu kepada harga kereta yang berpatutan dan menjimatkan minyak.

"Hampir 47% daripada responden memilih untuk berbelanja kurang daripada RM100,000 untuk membeli kereta. 83% pula bersetuju bahawa harga dan diskaun adalah faktor penting yang akan mempengaruhi keputusan untuk membeli kereta sewaktu penularan wabak COVID-19.

"Pengecualian cukai oleh kerajaan dijangka akan membantu meningkatkan industri automotif serta sesuai dengan keperluan rakyat," tambah WapCar.

74% memilih spesifikasi dan prestasi kereta, sementara 63% memilih ketahanan dan penjimatan minyak kereta.

Data daripada WapCar bagi tempoh 9 Mac hingga 30 Jun 2020 juga menunjukkan peningkatan dalam carian bagi model kereta praktikal dan harga yang berpatutan.

Bagi kategori kereta yang memerlukan khidmat pelanggan pula, kajian mendapati 70% daripada responden bimbang dengan keadaan ekonomi yang mempengaruhi keputusan untuk membeli kereta baharu.

Tambah WapCar  lagi, 50% daripada mereka lebih berhati-hati dalam berbelanja dan memilih untuk menabung bagi tujuan kecemasan berbanding berbelanja untuk barangan mahal seperti kereta.

"Manakala 59% responden turut berpendapat, pandu uji kereta dari rumah dan penghantaran kereta terus kepada pelanggan adalah antara perkhidmatan yang diperlukan," jelas WapCar. - DagangNews.com