Majlis perniagaan jangka lebih banyak syarikat China bakal bangunkan pusat data di Malaysia | DagangNews Skip to main content

Majlis perniagaan jangka lebih banyak syarikat China bakal bangunkan pusat data di Malaysia

Oleh M. HERMAN HAMID

KUALA LUMPUR 7 Mei - Majlis Perniagaan Malaysia-China menjangkakan lebih banyak syarikat China akan menubuhkan pusat data di negara ini dalam tempoh lima tahun akan datang.

 

Pemangku Pengarah Majlis Perniagaan Malaysia-China, Datuk Alvin Tee berkata, syarikat China mempunyai minat dengan beberapa lokasi di Malaysia antaranya di Cyberjaya.

 

Beliau berkata, infrastruktur teknologi maklumat (IT) Malaysia yang kukuh dan ramai tenaga kerja mahir menjadikannya destinasi menarik untuk pelaburan digital.

 

“Malaysia adalah antara negara terawal di rantau ini yang menceburi ekonomi digital. Kita menubuhkan Koridor Raya Multimedia (MSC) untuk mempercepatkan pertumbuhan industri, dan semasa membuka pintu kepada pelabur, kita perlu memastikan bahawa yang ia memenuhi keperluan kandungan tempatan.

 

“Kita mesti memastikan di mana sahaja pelabur dari China masuk, sumbangan kandungan tempatan adalah munasabah. Kami tidak mahu menutup pintu tetapi ia mestilah benar-benar situasi menang-menang,” katanya kepada pemberita di luar Forum Peringatan Malaysia-China di ibu negara hari ini.

 

KL1
Pelabur China berminat dengan infrastruktur IT yang ada di Malaysia. Gambar NAIM AZIZ/ DagangNews

 

Sementara itu, katanya, terdapat juga minat dalam sektor semikonduktor berikutan ketegangan perdagangan AS-China yang berterusan,.

 

"Bagaimanapun penting bagi kami untuk memastikan sebarang pelaburan menyumbang secara positif kepada KDNK negara dan tidak hanya bergantung kepada buruh atau bahan murah. 

 

"Daripada hanya memberi tumpuan mengenai jumlah lebihan perdagangan, kita harus mempertimbangkan perkara seperti pemindahan pengetahuan dan teknologi, serta hubungan antara manusia, yang telah banyak bertambah baik sejak 50 tahun lalu.

 

"Jadi, walaupun sudah pasti ada minat daripada China, adalah penting bagi kerajaan kita memantau dan mengurus pelaburan ini bagi memastikan manfaat jangka panjang untuk ekonomi kita," kata Alvin.

 

Sementara itu, Timbalan Menteri Peralihan Tenaga dan Transformasi Air, Akmal Nasrullah Mohd Nasir berkata, China telah menjadi rakan dagang terbesar Malaysia sejak 15 tahun lalu.

 

Pada 2023, jumlah perdagangan antara negara kita mencecah AS$98.80 bilion(RM450.84 bilion), dengan import dari China berjumlah USD56.69 bilion (RM258.63 bilion).

 

Import ini terutamanya termasuk produk elektrik dan elektronik, mesin dan bahan kimia, katanya.- DagangNews.com