Lebihan bekalan, RHB Investment kekal berhati-hati terhadap sektor sarung tangan getah | DagangNews Skip to main content

Lebihan bekalan, RHB Investment kekal berhati-hati terhadap sektor sarung tangan getah

Oleh NOR AZAN FITRI AHMAD HIDZIR

KUALA LUMPUR 2 Mei - RHB Investment kekal berhati-hati terhadap sektor sarung tangan getah Malaysia kerana lebihan kapasiti bekalan industri sedia ada dijangka membawa kepada kadar penggunaan kilang yang lemah.

 

Bagaimanapun, firma itu berkata, terdapat penambahbaikan dalam dinamik pasaran, termasuk pelepasan kos kolektif dan semakan harga gas asli serantau dan pendekatan berdisiplin dalam mengurangkan pelan kapasiti baharu.

 

"Kami percaya langkah kolektif yang dinyatakan boleh memberi nafas baharu kepada margin keuntungan pembuat sarung tangan dalam tempoh terdekat," katanya dalam satu nota kajian, hari ini.

 

Kossan Rubber Industries Berhad memulakan tahun ini dengan keputusan yang mengecewakan selepas melaporkan kerugian teras pada suku pertama sebanyak RM28 juta, jauh di bawah sasaran tahun penuh 2023 firma itu.

 

Keputusan yang lebih lemah daripada jangkaan adalah disebabkan penurunan harga purata jualan (ASP) sebanyak 3-5% manakala jumlah jualan turun 14% hingga 18% dari suku tahun ke suku tahun.

 

"Kumpulan itu mencatatkan kerugian untuk suku kedua berturut-turut berikutan kerugian teras yang dilaporkan sebanyak RM28.1 juta berbanding untung teras RM89.6 juta yang dicatatkan tahun lalu," katanya.

 

Firma itu berkata, kumpulan itu menjangkakan prospek jangka pendek mereka kekal mencabar memandangkan kapasiti bekalan yang mencukupi yang dibina oada 2021-2022 serta kos tenaga dan tenaga kerja yang akan terus memberi cabaran kepada industri sarung tanya pada 2023.

 

Firma itu mengurangkan unjuran pendapatan 2023 dan 2024 kumpulan sebanyak 53% dan 11%, selepas menurunkan jumlah jualan dan andaian penggunaan loji.

 

Firma itu mengekalkan saranan 'neutral' dengan harga sasaran (TP) lebih rendah RM1.24 sesaham. - DagangNews.com