Lebihan Kendalian Kasar Malaysia merosot 6.9% pada 2020 | DagangNews Skip to main content

Lebihan Kendalian Kasar Malaysia merosot 6.9% pada 2020

 

 

KUALA LUMPUR 27 Julai - Lebihan Kendalian Kasar (LKK) Malaysia merosot 6.9% pada 2020 berbanding 3.7% pada 2019, paras terendah sejak 2009 (-12.6%) berikutan pengurangan kapasiti pengeluaran.

 

Ketua Perangkawan, Datuk Seri Mohd. Uzir Mahidin berkata, LKK yang terdiri daripada keuntungan yang diperoleh firma, menyumbang 60.1% kepada keseluruhan ekonomi pada tahun lalu berbanding 60.4% pada tahun sebelumnya.

 

Katanya, sektor perkhidmatan terus menjadi penyumbang utama kepada keseluruhan LKK sebanyak 56% tahun lalu diikuti sektor pembuatan (21.6%), pertanian (10.5%) dan perlombongan dan pengkuarian (10%) manakala sektor pembinaan (1.9%).

 

"KDNK Malaysia pada harga semasa merekodkan penyusutan 6.4% pada 2020 berbanding 4.5% pada 2019 berikutan penurunan kesemua komponen pendapatan," katanya dalam kenyataan bersempena penerbitan statistik Keluaran Dalam Negeri Kasar (KDNK) Kaedah Pendapatan Malaysia bagi 2020.

 

Pampasan pekerja (PP) yang terdiri daripada gaji yang dibayar kepada pekerja merosot 3% pada 2020, penurunan kali pertama sejak siri masa direkodkan mulai 2005.

 

Bagaimanapun, sumbangan PP kepada keseluruhan ekonomi meningkat kepada 37.2% (2019: 35.9%) disumbangkan oleh penurunan dalam LKK pada 2020.

 

Mohd Uzir berkata, dari segi sumbangan, PP bagi sektor perkhidmatan merupakan penyumbang terbesar bagi keseluruhan PP dengan sumbangan 63.5% pada 2020.

 

“Sumbangan PP dalam sektor pembuatan adalah 22.6% diikuti sektor pembinaan dan pertanian yang masing-masing menyumbang 7.9% dan 4.1%.

 

“Bagi sektor selebihnya, perlombongan dan pengkuarian menyumbang 1.9% kepada keseluruhan PP pada tahun lalu,” katanya.

 

Menurutnya, cukai tolak subsidi ke atas pengeluaran dan import menyumbang 2.7% kepada keseluruhan ekonomi pada 2020.

 

Cukai tolak subsidi merekodkan penurunan ketara pada 30.4% disebabkan pengeluaran subsidi yang lebih tinggi dan cukai ke atas pengeluaran dan import yang lebih rendah pada tahun lalu. - DagangNews.com