KUALA LUMPUR 25 April - Lebtech Berhad menerusi anak syarikat, Lebtech Construction Sdn. Bhd. berjaya meraih kontrak daripada Vista Infinity Development Sdn. Bhd. untuk kerja-kerja pengorekan, penambakan dan perlindungan pantai di Kampung Tanjung Batu Nenasi di Pahang.
Kontrak bernilai RM55.3 juta itu adalah berkaitan projek tebatan hakisan pantai di kawasan itu.
Skop kerja kontrak itu merangkumi bekalan pasir daripada sumber pasir yang ditetapkan ke kawasan penambakan pantai selain penyediaan pengurusan tapak yang diperlukan bagi menyempurnakan projek itu.
"Mobilisasi semua loji pengorekan dan peralatan yang diperlukan untuk projek setelah kerja-kerja siap selain itu mematuhi semua keperluan yang ditetapkan pihak berkuasa seperti Jabatan Alam Sekitar dan Jabatan Laut," katanya dalam satu makluman kepada Bursa Malaysia, hari ini.
Kumpulan itu berkata, projek itu akan bermula pada 3 Mei 2023 untuk tempoh 33 bulan dari tarikh permulaan.
Katanya, projek itu dijangka menyumbang secara positif kepada pendapatan kumpulan mulai tahun kewangan berakhir 31 Disember 2023 dan seterusnya.
"Projek itu tertakluk kepada risiko pembinaan biasa turun naik harga bahan api sepanjang tempoh kontrak," katanya. - DagangNews.com