Lim Guan Eng mengaku tidak bersalah di mahkamah Pulau Pinang | DagangNews Skip to main content

Lim Guan Eng mengaku tidak bersalah di mahkamah Pulau Pinang

Lim Guan Eng. Gambar oleh AstroAwani

KUALA LUMPUR 10 Ogos - Bekas Menteri Kewangan, Lim Guan Eng mengaku tidak bersalah atas pertuduhan terhadap dirinya di Mahkamah Sesyen Butterworth, Pulau Pinang hari ini.

Pertuduhan terhadapnya dibaca di hadapan hakim Hakim Ahmad Azhari Abdul Hamid.

Beliau dihadapkan ke Mahkamah Sesyen Butterworth atas dakwaan menggunakan kedudukannya untuk menerima suapan wang berjumlah RM3,300,000 sebagai tindakan membantu syarikat milik Datuk Zarul Ahmad Mohd. Zulkifli.

Datuk Zarul Ahmad Mohd. Zulkifli adalah individu yang dilantik bagi melaksanakan Projek Pembinaan Jalan-Jalan Utama dan Terowong di Pulau Pinang yang bernilai RM6,341,383,702 serta merupakan Pengarah Consortium Zenith Construction Sdn. Bhd.

Lantaran itu, mahkamah membenarkan Guan Eng diikat jamin RM1 juta menggunakan wang sama dalam kesnya sebelum ini di Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur.

Hakim turut membuat keputusan dengan mengarahkan kes tersebut dibawa dan dibicarakan bersama kes rasuahnya di Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur.

Keputusan itu dibuat selepas hakim membenarkan permohonan Timbalan Pendakwa Raya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Ahmad Akram Gharib untuk memindahkan kes tersebut ke Kuala Lumpur kerana melibatkan transaksi sama.

"Antara faktor paling utama ialah kedua-dua pertuduhan membabitkan saksi utama iaitu Zarul dan kedua-duanya juga melibatkan perkara sama iaitu Projek Pembinaan Jalan-Jalan Utama dan Terowong di Pulau Pinang," jelas Ahmad Akram.

Terdahulu, pada 7 Ogos lalu, Guan Eng turut mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur atas pertuduhan meminta rasuah bagi kes yang sama.

Pada 7 Ogos lalu juga, Lim Guan Eng dibenarkan diikat jamin RM1 juta dengan dua orang penjamin. - DagangNews.com