KUALA LUMPUR 14 Jan - Pameran Antarabangsa Maritim dan Aeroangkasa Langkawi 2023 (LIMA '23) akan dilancarkan secara rasmi pada Isnin ini di Pusat Pameran dan Perdagangan Antarabangsa (MITEC) Kuala Lumpur.
Majlis tersebut akan disempurnakan oleh Menteri Pertahanan, Dato’ Seri Utama Mohamad Hasan bersama Menteri Pengangkutan, Anthony Loke Siew Fook.
Laman Facebook rasmi LIMA 2023 memaklumkan, penganjuran edisi ke-16 itu bakal mewujudkan sinergi dalam komuniti industri pertahanan aeroangkasa dan maritim termasuk komersial.
Menurut kenyataan itu lagi, LIMA'23 membabitkan dua kementerian besar iaitu Kementerian Pertahanan (Mindef) dan Kementerian Pengangkutan (MOT).
"LIMA 2023 merupakan satu-satunya penganjuran berprestij dan terbesar yang seumpamanya di rantau Asia Pasifik.
"Dalam tempoh empat bulan kita akan bekerja keras untuk memastikan LIMA'23 dapat berlangsung dengan jayanya," ujar kenyataan tersebut.
LIMA kali terakhir berlangsung pada 2019 sebelum tertunda sejak tahun 2021 disebabkan pandemik Covid-19.
Bagi edisi kali ini dijangka menarik 600 syarikat pempamer membabitkan 20 negara selain pameran statik kira-kira 110 pesawat.
Antara yang dijangka menarik perhatian ialah Pavilion Dron melibatkan pameran dan seminar serta segmen kapal terbang berkuasa elektrik. - DagangNews.com