Lotte Chemical tidak mampu kekalkan prestasi cemerlang pada 2H21, ramal CGS-CIMB  | DagangNews Skip to main content

Lotte Chemical tidak mampu kekalkan prestasi cemerlang pada 2H21, ramal CGS-CIMB 

 

Oleh ANIS FARHANAH MALEK
[email protected]

 

KUALA LUMPUR 29 Julai - Di sebalik lonjakan perolehan yang memberangsangkan pada separuh pertama tahun kewangan 2021 (1HFY21), penganalisis melihat Lotte Chemical Titan Holding Berhad (LCT) tidak mampu ‘mengulangi’ prestasi baik itu pada 2HFY21 atau FY22. 

 

Penganalisis di CGS-CIMB Research, Raymond Yap menjangkakan syarikat petrokimia itu bakal mencatatkan keuntungan bersih 55% lebih rendah pada 2HFY21 berbanding 1HFY21. 

 

Ini disebabkan oleh ‘tindakan kacip’ (pincer action) harga penjualan polimer yang menyaksikan penurunan bulan ke bulan (m-o-m) sejak paras kemuncaknya sekitar penghujung Mac 2021 ekoran normalisasi bekalan walaupun ia meningkat m-o-m pada Julai.

 

“Harga minyak mentah Brent kian meningkat sejak Pertubuhan Negara-Negara Pengeksport Petroleum (OPEC) dan negara bukan OPEC, dikenali OPEC+ setakat ini memilih untuk meningkatkan pengeluaran dengan kenaikan bulanan kecil yang tidak sesuai dengan pemulihan permintaan, menyebabkan inventori minyak global merosot.

 

“Harga nafta telah meningkat lebih cepat berbanding Brent kerana permintaan petrokimia yang kukuh serta terdapat permintaan bagi campuran nafta dan gasolin,” jelas Yap dalam satu nota kajian. 

 

Semalam, LCT mencatatkan keuntungan selepas cukai (PAT) yang lebih tinggi pada suku kedua tahun kewangan 2021 (2QFY21) yang berakhir Jun lalu apabila melonjak 300% kepada RM384 juta daripada RM96 juta tahun lalu.

 

Baca : Peningkatan margin produk lonjakkan keuntungan Q2 Lotte Chemical 300%

 

Ini terutamanya disumbangkan oleh peningkatan margin produk yang lebih tinggi sejak setahun lalu, menurut syarikat dalam satu kenyataan. 

 

Walaupun Yap menjangkakan prestasi lebih lemah, namun beliau masih melihat terdapat faktor-faktor positif yang bakal mempengaruhi kewangan LCT.

 

Katanya, harga polimer meningkat m-o-m pada Julai didorong oleh permintaan global yang pulih dan musim kemuncak menjelang Ogos bagi permintaan plastik pertanian di China, dijangka dapat menyokong harga. 

 

Tambahnya, harga benzena dan butadiena berprestasi baik pada 2Q21 dan terus mengukuh memasuki Julai, menjadikan lonjakan mendadak dalam perbezaan margin nafta. 

 

“Kos batu arang yang tinggi telah menjadikan kilang batu arang ke monoetilena glikol (MEG) tidak ekonomik di China, yang membentuk sebahagian besar kapasiti pengeluaran MEG di Asia; ini telah menyokong harga MEG dan menjadikan perbezaan harga MEG-harga etana Amerika Syarikat (AS) kukuh, di mana memberi manfaat kepada kilang MEG yang menyaksikan 40% pemegangan kepentingan oleh LCT di AS. 

 

“Akhirnya, dolar AS (AS$) telah meningkat kepada RM4.23 ketika ini berbanding RM4.02 pada Disember 2020, ini memberi keuntungan kepada lCT memandangkan aliran hasilnya berkait dengan AS$,” ujar Yap lanjut.

 

Berdasarkan kesemua faktor berkenaan, CGS-CIMB menyemak turun saranan harga saham LCT daripada ‘tambah’ kepada ‘pegang’ dengan harga sasaran (TP) diturunkan kepada RM2.92 daripada RM3.95. - DagangNews.com