LSH Capital catat pendapatan RM41.61 juta menjelang penyenaraian di Pasaran LEAP | DagangNews Skip to main content

LSH Capital catat pendapatan RM41.61 juta menjelang penyenaraian di Pasaran LEAP

Lim Keng Cheng
 

Oleh ANIS FARHANAH MALEK
anisfarhanah@dagangnews.com

 

KUALA LUMPUR 28 Julai - Lim Seong Hai Capital Berhad (LSH Capital) mencatatkan pendapatan RM41.61 juta bagi separuh tahun pertama yang berakhir pada 31 Mac 2021 (1HFY21) menjelang penyenaraian kumpulan di Pasaran LEAP.

 

Keputusan kewangan itu melonjak 85% kepada RM41.61 juta daripada RM22.49 juta yang dicatatkan kumpulan pada tempoh sama tahun lalu.

 

Ini terutamanya disumbangkan oleh pesanan terjamin untuk produk pencahayaan serta produk dan perkhidmatan mesin dan peralatan (M&E) yang berkaitan, bahan binaan dan penyewaan mesin untuk infrastruktur, pembangunan hartanah dan projek pembinaan.

 

Sementara itu, keuntungan dan jumlah pendapatan komprehensif untuk 1HFY21 berjumlah RM5.56 juta, yang mana menunjukkan peningkatan 275% berbanding RM1.48 juta yang dicatatkan pada tempoh sebelumnya.

 

Pengerusi bukan eksekutif LSH Capital, Tan Sri Lim Keng Cheng berkata, prestasi kewangan memberangsangkan yang dicatatkan oleh kumpulan akan memberi keyakinan kepada para pelabur dan pelanggannya kerana tarikh penyenaraiannya di Pasar LEAP semakin hampir.

 

"Di sebalik iklim ekonomi yang mencabar, kumpulan optimis, tetapi berhati-hati bahawa hasil kewangan untuk FY21 akan tetap baik berdasarkan hasil kewangan separuh pertama yang positif.

 

“Pendapatan yang belum dapat diakui dari kontrak terjamin kami berjumlah kira-kira RM65.18 juta, pada 31 Mac 2021, juga diharapkan dapat menyumbang terhadap pendapatan LSH Capital hingga 2024," katanya dalam satu kenyataan.

 

Melalui anak-anak syarikatnya, iaitu Lim Seong Hai Lighting Sdn Bhd dan Knight Auto Sdn Bhd, LSH Capital pada dasarnya terlibat dalam penyediaan bahan binaan, produk pencahayaan, produk dan perkhidmatan M&E, perkakasan dan alat, serta penyewaan mesin.

 

LSH Capital kini beroperasi dari sebuah ibu pejabat, lapan kedai runcit dan sebuah gudang di Lembah Klang.

 

Kumpulan berhasrat untuk menubuhkan dua kedai runcit Lim Seong Hai Lighting tambahan dan tiga rangkaian runcit Knight Auto tambahan di Kuala Lumpur menjelang 2024 yang sebahagiannya akan dibiayai oleh hasil yang dihasilkan daripada pelabur sebelum penyenaraian. - DagangNews.com