LTAT sedang berbincang dengan Setiausaha Kewangan Negeri Sarawak berhubung penjualan saham Affin Bank | DagangNews Skip to main content

LTAT sedang berbincang dengan Setiausaha Kewangan Negeri Sarawak berhubung penjualan saham Affin Bank

Oleh NOR AZAN FITRI AHMAD HIDZIR

KUALA LUMPUR 8 Jan - Lembaga Tabung Angkatan Tentera (LTAT) memaklumkan sedang mengadakan perbincangan dengan Setiausaha Kewangan Negeri Sarawak terhadap kemungkinan berlakunya pertukaran pegangan saham dalam Affin Bank Berhad. 

 

Affin Bank dalam satu makluman kepada Bursa Malaysia berkata, sebarang transaksi yang mungkin terhasil daripada perbincangan tersebut akan dilakukan mengikut peraturan berkaitan.

 

Katanya, Setiausaha Kewangan Negeri Sarawak memiliki 4.796% saham Affin Bank pada 29 Disember 2023 dan berminat untuk memperoleh tambahan 15% daripada LTAT yang secara langsung memiliki 29.7% kumpulan perbankan itu. 

 

Sementara itu, unit milik penuhnya Boustead Holdings Berhad memegang 20.65% kepentingan.

 

"Sekiranya saham itu berjaya bertukar tangan, Sarawak akan menjadi pemegang saham ketiga terbesar Affin, memegang kira-kira 20%, berikutan Bank of East Asia dengan 23.79% kepentingan," katanya.

 

Menurut Akta Syarikat 2016 dan Keperluan Penyenaraian Pasaran Utama Bursa Malaysia Securities Berhad (Bursa Securities), LTAT bertanggungjawab untuk memaklumkan Affin Bank tentang sebarang perubahan kepada pegangan saham mereka dengan mematuhi keperluan atau pelupusan ketara pemegang saham utama.

 

Begitu juga, mana-mana pihak yang memperoleh faedah sebanyak 5% atau lebih akan dikehendaki memberitahu bank terbut terhadap perkara yang sama.

 

"Affin Bank akan membuat pengumuman selepas menerima pemberitahuan mengenai sebarang perubahan dalam pegangan saham yang melibatkan pemegang saham utamanya," katanya. - DagangNews.com