MAA beli 57.78% kepentingan Turiya dari Ithmaar | DagangNews Skip to main content

MAA beli 57.78% kepentingan Turiya dari Ithmaar

 

Oleh ANIS FARHANAH MALEK
anisfarhanah@dagangnews.com

 

KUALA LUMPUR 22 Jun - Institusi kewangan, MAA Group Berhad (MAA) bakal mengambil alih 57.78% kepentingan atau 132.15 juta saham biasa dari Ithmaar Bank B.S.C. dalam Turiya Berhad. 

 

Ini selepas syarikat pada hari ini telah menandatangani perjanjian jual dan beli saham (SPA) tanpa syarat dengan Ithmaar pada nilai pertimbangan RM23.79 juta atau RM0.18 sesaham, menurut makluman MAA di Bursa Malaysia.

 

“Setelah Cadangan Pengambilalihan itu selesai, pemegangan saham MAA dalam Turiya akan meningkat daripada sifar kepada 57.78%. 

 

“Susulan itu, MAA perlu melanjutkan tawaran berwajib ke atas semua baki saham dalam Turiya yang tidak dipegang oleh syarikat pada kadar RM0.18 sesaham, mengikut Seksyen 218 (2) Pasaran Modal dan Akta Perkhidmatan, 2007 (CMSA) dan perenggan 4.01 (a) Peraturan Pengambilalihan, Penggabungan dan Perolehan Berwajib diterbitkan oleh Suruhanjaya Sekuriti Malaysia,” jelas MAA. 

 

Sebagai rekod, Turiya mula diperbadankan di Malaysia pada 27 Februari 1980 sebagai syarikat berhad persendirian di bawah nama Sitt Tatt (M) Sdn. Bhd. dan seterusnya ditukarkan kepada syarikat berhad awam dengan nama Sitt Tatt Berhad.

 

Turiya terutamanya terlibat dalam perniagaan dan pengurusan harta tanah, pemegangan pelaburan dan penyediaan perkhidmatan perundingan pengurusan kepada anak syarikatnya.

 

Berdasarkan penyata kewangan pada tahun kewangan berakhir 31 Mac 2020, kumpulan Turiya mencatatkan keuntungan selepas cukai berjumlah RM440,843 dan aset bersih sebanyak RM120.67 juta.

 

Menurut makluman sama, pengambilalihan itu akan dibiayai oleh hasil daripada pelupusan MAA Takaful Berhad (MAAT) oleh MAA.

 

Pada 4 Mei 2016, MAA telah memeterai perjanjian pembelian saham dengan Zurich Insurance Company Ltd untuk melupuskan 75% kepentingannya dalam MAAT pada nilai jualan RM393.75 juta. 

 

Jelas MAA, jumlah hasil sebenar daripada pelupusan itu adalah bernilai RM364.40 juta ekoran beberapa pengubahsuaian mengikut terma dan syarat perjanjian tersebut.

 

“MAA berhasrat untuk mengekalkan status penyenaraian Turiya di Papan Utama Bursa Securities. 

 

“Sekiranya Turiya tidak mematuhi keperluan tebaran awam ekoran daripada tawaran cadangan pengambilalihan ini, MAA akan bekerjasama dengan Turiya untuk meneroka pelbagai pilihan dan cadangan dalam tempoh tiga bulan daripada tarikh tutup tawaran atau tempoh masa lanjutan yang dibenarkan oleh pihak berkuasa berkaitan untuk mengatasi kekurangan tebaran awam Turiya, sekiranya ada,” tambah MAA. - DagangNews.com