KENDERAAN elektrik sepenuhnya dilihat sebagai anak emas pentadbir Kerajaan Malaysia sekarang dan ini membuatkan industri automotif secara keseluruhan terasa seperti dipinggirkan dan buat kali pertama mereka bersuara memohon polisi yang lebih inklusif.
Dalam usaha mengecilkan jejak karbon negara, satu pintu baru sudah dibuka kepada industri automotif dalam bentuk pelepasan cukai import dan duti eksais disamping pengecualian cukai jalan sehingga 2025 untuk kenderaan elektrik sepenuhnya.
Langkah ini tidak dijangka oleh industri dan telah menggalakkan kemasukan pelbagai model elektrik bateri dan juga jenama baru ke pasaran Malaysia, lebih penting lagi prubahan polisi mendadak ini telah menjadikan kereta elektrik sebagai buah mulut yang lebih popular.
Walaupun EV lebih dibincangkan dan minat bertambah tetapi anjakan pasaran masih dilihat sebagai terhad, dimana pada tahun ini jualan BEV mungkin mencecah 10,000 unit ataupun 1.5% pasaran dan mungkin berganda kepada 20,000 unit pada tahun 2024 atau sekitar 2.6 peratus.
Persoalannya apakah Malaysia boleh bergantung kepada EV sepenuhnya atau perlu ada perubahan dalam polisi bagi membolehkan negara mencapai aspirasi hijau seperti yang dijanjikan?
Dalam satu persidangan mengenai anjakan ke tenaga lestari, Malaysia telah menetapkan matlamat 15% daripada jumlah industri keseluruhan (TIV) diwakili oleh kenderaan berelektrik atau xEV menjelang tahun 2030 dan sebanyak 38% menjelang tahun 2040.
Angka ini bukan saja melibatkan kenderaan bateri elektrik tetapi juga hybrid dan Plug in Hybrid (PHEV).
Kenderaan bateri elektrik dilihat sebagai watak utama di pentas autmotif dunia sekarang, mengacau dan menggangu struktur tradisional dan mengubah lanskap automotif pasaran utama dengan cara dan kadar di luar jangkaan pakar industri.
Antara pencetus utama perubahan ini ialah industri automotif China yang digalakkan oleh pelbagai insentif kerajaan mereka dan mereka kini telah memasuki pasaran Malaysia dan menawarkan produk elektrik pada harga yang kompetitif.
Kemasukan Tesla pada tawaran harga bawah RM200,000 dilihat sebagai satu ledakan yang mungkin mengubah lanskap automotif Malaysia kerana ia sekaligus menerjah masuk ke pasaran pasaran massa dengan produk premium.
Namun pengguna Malaysia dilihat masih kurang yakin dengan anjakan ke EV kerana infrastruktur mengecas dikatakan jauh daripada mencukupi.
Tambahan pula kenderaan elektrik memerlukan masa yang lebih panjang untuik dicaj berbanding kereta petrol atu disel yang hanya memerlukan lima minit untuk diisi semula dengan bahan api.
Jenama besar di Malaysia seperti Toyota dan Honda percaya enjin hibrid adalah penyelesaian paling praktikal dalam tempoh anjakan. Honda sudah menawarkan varian hibrid untuk hampir semua model yang mereka jual di Malaysia manakala Toyota pula sedang menambah varian hibrid secara berkala.
Jenama tempatan Proton baru memperkenalkan model mild hybrid pertama dalam bentuk Proton X90 manakala Perodua pula sedan lakukan kajian pasaran secara besar-besaran dengan membawa masuk 300 unit Ativa Hibrid untuk disewa oleh awam.
Hakikatnya jenama tempatan dan pemain besar industri yang berpengkalan di Jepun sudah melabur berbillion ringgit dan menyokong industri automotif Malaysia tidak mempunyai model elektrik sepenuhnya untuk ditawarkan pada harga kompetitif.
Mereka melihat Hibrid sebagai satu laluan untuk memperkenalkan teknologi pacuan elektrik kepada pengguna dengan lengan lebih teratur dan terurus. Ini mungkin berdasarkan kepada bukti anekdot dimana pembeli masih takut dengan keupayaan bateri, kos mengganti bateri dan keselamatan kereta elektrik.
Industri automotif Malaysia juga tidak lupa dengan polisi hibrid lalu yang bersifat jangka pendek dan beberapa jenama kesal dengan keputusan tersebut kerana mereka sudah berbelanja untuk membangunkan pasaran.
Kali ini MAA meminta kerajaan untuk menyatakan dengan jelas satu polisi yang lebih berbentuk jangka panjang yang lebih sesuai dengan sektor automotif yang memerlukan modal besar jangka panjang kerana setiap model berada di pasaran lima hingga tujuh tahun.
ARTIKEL BERKAITAN: Bajet 2024: MAA cadang insentif diperluas kepada semua jenis kenderaan elektrik
Setidak mereka perlu yakin bahawa polisi akan kekal untuk kitaran dua model, setidak tidaknya, sebelum mereka boleh membuat perancangan jangka panjang untuk anjakan teknologi, rantaian bekalan, pemasaran, infrastruktur dan sebagainya.
Sekilas pandang, apa yang dicadangkan oleh MAA memang munasabah kerana teknologi hibrid terbukti mampu mengurangkan kadar penggunaan bahan api tetapi PHEV sudah pun mula kurang popular di sesetengah pasaran seperi Eropah.
Ini kerana data menunjukkan ramai pembeli tidak mengecaj kenderaan mereka dan akhirnya mencatatkan kadar pembakaran bahanapi yang lebih tinggi dari kereta biasa kerana model PHEV lebih berat dari model ICE akibat membawa bateri dan motor elektrik.
Cadangan MAA dilihat sebagai cara pihak kerajaan melindungi pelaburan sedia ada industri automotif yang secara global sedang menghadai risiko pelaburan terkandas akibat anjakan ke teknologi elektrik.
Insentif untuk hibrid dilihat sebagai jalan tengah dimana industry dapat menyumbang kepada mengecilan tapak karbon sambil memeri mereka sedikit ruang untuk merancang anjakan ke elektrik dalam masa terdekat.
Hakikatnya ada perubahan yang berlaku luar dari kemampuan kawalan industry mahupun kerajaan dan dalam tempoh satu dekad yang lampau kita telah melihat bagaimana industri telefon pintar dan kamera digital mendominasi dalam tempoh kurang 20 tahun.
Walaupun secara dasar saya bersetuju pihak kerajaan perlu melihat bagaimana mereka boleh membantu industri automotif berubah dengan cara lebih teratur, ia adalah persoalan tempoh anjakan.
Sangat sukar untuk semua pihak meneka dengan begitu tepat tempoh masa yang akan diambil oleh anjakan ke teknologi pacuan baru namun kita mempunyai akses kepada data sejarah dan global bila mengkaji sebarang perubahan teknologi dan kadar anjakan.
Lengkuk penerimaan teknologi ataupun Technology Adoption Curve ialah satu kumpulan data yang difahami ramai dan tak perlu dijelaskan dengan panjang lebar.
Graf ini menunjukkan bahawa apabila teknologi melepasi tahap penerimaan 10 peratus, ia mula melonjak secara mendadak dan sukar untuk dihalang, kriteria yang kerap kita nampak ialah teknologi tersebut perlulah menawarkan kelebihan yang nyata untuk penerimaan mampan.
China yang kini menikmati jualan xEV 40 peratus pasaran, dimana hampir 30 peratus adalah kenderaan bateri sepenuhnya telah mengalami zaman insentif yang intensif oleh penguasa tempatan sebagai cara untuk mengurangkan pencemaran udara setempat.
Akibat program galakan tersebut beberapa bandar raya besar China kini dapat menikmati udara yang lebih bersih, tetapi lebih penting lagi, pengguna kenderaan elektrik dilihat tidak ingin untuk kembali kepada pengangkutan ICE.
Ini petanda mereka yakin dengan teknologi baru sebagai masa depan dan inilah yang memacu peningkatan pasaran seterusnya dan mendorong pemerhati industri untuk menyarankan fokus kepada teknologi BEV.
Teknologi Hibrid mempunyai tempat dalam ekosistem automotif tetapi ia diakui sebagai teknologi perantara, sebab itulah penting sebarang polisi hibrid perlu bersandarkan kepada polisi EV.
Kita lihat di Thailand bagaimana syarat pelepasan cukai adalah jelas dan mudah difahami, dimana pelaburan bernilai minima AS$100 juta untuk kilang BEV diberi kelebihan dua kali ganda berbanding pelaburan jumlah yang sama untuk kilang hibrid.
Mudah untuk syarikat automotif untuk berfikir sama ada berbaloi untuk melabur dalam kilang hibrid atau BEV dan melakukan perancangan yang sesuai untuk masa depan.
Mungkin kita oleh menggunakan model yang sama untuk hibrid dengan memberikan sokongan tetapi tidak sebanyak mana yang diberikan untuk kenderaan BEV yang menawarkan pengurangan pencemaran yang lebih besar dan pengurangan pembakaran petrol dan disel yang lebih banyak.
Penimatan disel dan petrol patut menjadi salah satu sebab perbezaan insentif kerana kerajaan kerap kali merungut mengenai jumlah subsidi petrol dan disel yang terpaksa dibelanjakan.
P{endekatan inklusif yang dicadangkan oleh MAA ini mempunyai kesesuaian terhad bila dilihat dari sudut perkembangan global.
Walau banyak mana insentif yang diberikan kepada hibrid, akhirnya poembeli akan lebih mahukan kenderaan elektrik sepenuhnya jika ia memenuhi keperluan mereka dan operasinya serupa atau lebih mudah dari ICE.
Sambil melihat kepada cara untuk menghargai pelaburan yang sudah memberikan negara kita kegiatan ekonomi bernilai besar sedia ada, kita juga perlu membangunkan industri baru maka klerajaan perlu lebih memikirkan insentif untuk memujuk OEM tradisional untuk berganjak cepat kea rah EV, demi untuk menyelamatkan mereka kerana ombak ini sukar untuk dihalang kerana ia adalah seperti tsunami 1,000 tahun.
Masa depan industri automotif Malaysia bergantung kepada kejayaan semua pihak mencari titik imbang yang tepat antara keperluan industri, pasaran dan agenda peningkatan kecekapan tenaga negara.
Penting kita melihat sekeliling kita seadanya, tanpa melapikkan keinginan kita ke atas kenyataan kerana ini boleh mengelirukan analisis dan menjurus kepada sasaran yang tidak tepat. - DagangNews.com