MAFI kaji cadangan wujudkan 'One Stop Quarantine Centre', perkasa biosekuriti makanan negara | DagangNews Skip to main content

MAFI kaji cadangan wujudkan 'One Stop Quarantine Centre', perkasa biosekuriti makanan negara

.

Oleh MUHAMMAD ARIEF CHE SOH
arief@dagangnews.com

 

 

KUALA LUMPUR 13 Julai - Kementerian Pertanian dan Industri Makanan (MAFI) sedang mengkaji cadangan mewujudkan Pusat Kuarantin Setempat atau One Stop Quarantine Centre (OSQC) bagi memperkasa dan memperkukuhkan lagi aspek biosekuriti dan keselamatan makanan negara.

 

Menterinya, Datuk Seri Dr. Ronald Kiandee berkata, perkara itu adalah selaras dengan agenda sekuriti makanan negara. 

 

"Cadangan penubuhan OSQC ini adalah rentetan risiko penyakit atau perosak yang dibawa bersama dagangan di mana OSQC yang memenuhi standard antarabangsa dikaji untuk dibangunkan di pintu masuk negara bagi memastikan setiap dagangan agromakanan melalui proses pemeriksaan (inspection) dan kuarantin (quarantine) yang komprehensif di pintu masuk sebelum diimport masuk atau dieksport keluar negara.

 

"Buat masa ini, negara tidak mempunyai satu pusat kuarantin setempat sebegini yang dilengkapi dengan teknologi-teknologi terkini di setiap pintu-pintu masuk bagi membolehkan pemeriksaan komprehensif dilakukan," katanya.

 

Beliau berkata demikian selepas membuat serahan sumbangan bekalan makanan haiwan kepada lapan Jabatan dan Agensi berupa produk daging sejuk beku hasil rampasan Jabatan Perkhidmatan Kuarantin dan Pemeriksaan Malaysia (MAQIS) yang telah dilucuthakkan yang membabitkan kes dari bulan Februari sehingga April 2021 di Pelabuhan Klang, hari ini.

 

.

 

Turut hadir, Timbalan Menteri MAFI 1, Datuk Seri Ahmad Hamzah; Timbalan Ketua Pengarah MAQIS, Dr Azhari Sharidan Abu Bakar; Pengarah Bahagian Dasar dan Perancangan MAQIS, Siti Nur Ahmad dan Pengarah MAQIS Negeri Selangor, Zamri Hashim.

 

Secara umumnya, OSQC yang dicadangkan itu mempunyai lima fungsi iaitu virus/microorganism detection, disinfection process, quarantine centre, quarantine certification dan illegal-activities prevention.

 

Selain daripada pembangunan infrastruktur dan fasiliti, projek berkenaan juga akan melibatkan cadangan pembangunan sistem teknologi maklumat tersendiri untuk membantu proses traceability dan automasi akan digunakan.

 

Tambah beliau lagi, cadangan penubuhan OSQC itu juga akan menggalakkan perkembangan ekonomi dan perniagaan khususnya produk agromakanan dan e-dagang serta meningkatkan kebolehpasaran produk agromakanan negara di peringkat antarabangsa. - DagangNews.com