Mahkamah Persekutuan memihak SC, kekalkan tindakan penguatkuasaan AOB terhadap firma audit Afrizan Tarmili Khairul Azhar | DagangNews Skip to main content

Mahkamah Persekutuan memihak SC, kekalkan tindakan penguatkuasaan AOB terhadap firma audit Afrizan Tarmili Khairul Azhar

KUALA LUMPUR 18 Ogos - Mahkamah Persekutuan sebulat suara memutuskan untuk memihak kepada Suruhanjaya Sekuriti Malaysia (SC) dan menolak permohonan kebenaran rayuan oleh firma audit Afrizan Tarmili Khairul Azhar (AFTAAS) dan rakan kongsinya iaitu Datuk Mohd Afrizan Husain, Tamili Dulah Kusni dan Khairul Azahar Ariffin.

 

Panel Mahkamah Persekutuan dianggotai oleh Tan Sri Azahar Mohamed, Dato’ Sri Hasnah Dato’ Mohammed Hashim dan Dato’ Abu Bakar Jais membuat keputusan tersebut pada 17 Ogos 2022.

 

Keputusan Mahkamah Persekutuan tersebut mencerminkan betapa seriusnya pelanggaran tersebut dan juga mengukuhkan rangka kerja penguatkuasaan Lembaga Pemantauan Audit (AOB) SC.

 

"AFTAAS juga diarah membayar kos RM30,000 kepada SC," kata suruhanjaya itu dalam kenyataan di sini hari ini.

 

Menurut SC, AFTAAS dan rakan kongsinya telah dikenakan sekatan oleh AOB kerana beberapa pelanggaran yang melibatkan ketidakpatuhan terhadap piawaian pengauditan mengenai prosedur audit teras dan asas semasa tempoh pemeriksaan antara 14 Februari dan 5 Mac 2019.

 

AOB juga mendapati beberapa pemerhatian yang berulang ketika pemeriksaan terdahulu AOB ke atas juruaudit tersebut, menimbulkan kebimbangan terhadap kapasiti dan keupayaan mereka.

 

"Firma itu dan rakan kongsinya dilarang menerima pelanggan atau mengaudit entiti kepentingan awam (PIE) atau kumpulan wang jadual untuk tempoh 12 bulan.

 

Selain itu, AOB turut mengenakan denda sebanyak RM455,000 ke atas AFTAAS, dan RM88,000 masing-masing ke atas Datuk Mohd Afrizan dan Khairul.

 

Dengan keputusan Mahkamah Persekutuan ini, penangguhan keputusan penguatkuasaan AOB sehingga pelupusan permohonan kebenaran kepada Mahkamah Persekutuan yang diperoleh oleh AFTAAS dan rakan kongsinya di Mahkamah Rayuan pada 11 Februari 2022 telah luput.

 

Oleh itu, sekatan yang dikenakan oleh AOB dalam keputusan penguatkuasaannya termasuk larangan tersebut akan berkuat kuasa mulai 17 Ogos 2022. -DagangNews.com