Majlis Pemulihan Negara prihatin kehendak peniaga | DagangNews Skip to main content

Majlis Pemulihan Negara prihatin kehendak peniaga

Keadaan ekonomi Malaysia yang parah akibat pandemik, hanya dapat dipulihkan jika semua orang bekerjasama.
oleh Suryani Mohammad

Saudara Pengarang,

 



 

 

SEBAGAI seorang peniaga kecil, saya mengikuti perkembangan setiap kali Majlis Pemulihan Negara (MPN) bersidang.

 

Saya merasakan ini satu satunya platform Kerajaan yang benar-benar mendengar denyut nadi peniaga khususnya dan rakyat Malaysia amnya.

 

Majlis yang dianggotai Menteri Kanan kabinet, Ahli Parlimen Pembangkang dan pakar-pakar bidang yang dipengerusikan oleh Mantan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin sememangnya mempunyai pengalaman yang luas dan kelihatan mampu untuk merencana pemulihan negara secara holistik.

 

Contohnya, cadangan pembukaan sempadan pada 1 Mac yang dikemukan kepada Kabinet sememangnya merupakan satu cadangan bernas.

 

Walaupun Kabinet masih teragak-agak untuk membuka sempadan, cadangan Majlis Pemulihan Negara telah memulakan wacana penting dalam pengurusan pandemik kerajaan.

 

Pembukaan sektor ekonomi dan sosial sejak Julai 2021 juga dalam empat fasa merupakan perincian yang dibentangkan melalui Pelan Pemulihan Negara (PPN) oleh Majlis Pemulihan Negara yang dipengerusikan oleh Perdana Menteri ketika itu, Tan Sri Muhyiddin Yassin.

 

mpn
Mesyuarat Majlis Pemulihan Negara yang dipengerusikan oleh Tan Sri Muhyiddin Yassin.



 

Sebenarnya, peniaga seperti saya amat menghargai pelan yang transparen seperti PPN kerana ia memudahkan saya untuk merancang bagaimana untuk membuka perniagaan, menguruskan stok dan menyesuaikan perniagaan dengan SOP.

 

Oleh itu, saya menyambut baik apabila saya membaca bahawa MPN akan menyediakan PPN 2.0.

 

Saya pasti pelan ini akan membantu lebih ramai rakyat Malaysia untuk bangkit dalam satu proses pemulihan yang tersusun.

 

Saya ingin mencadangkan agar ahli-ahli MPN bukan sahaja Tan Sri Muhyiddin untuk sentiasa turun padang dan mengambil pandangan dan input daripada rakyat biasa.

 

Saya percaya jika lebih ramai yang terlibat, lebih banyak idea bernas dapat diterima dan diimplementasi secepat mungkin.

 

Keadaan ekonomi Malaysia yang parah akibat pandemik, hanya dapat dipulihkan jika semua orang bekerjasama.

 

Jangan terperangkap dengan permainan politik sesetengah pihak.

 

Beberapa pemimpin yang terbukti korup seakan-akan merendah-rendahkan MPN. Saya sarankan agar pemimpin seperti ini berehat sahajalah.


 

UPM

 


Saya yakin dan percaya, MPN harus diberi mandat yang lebih besar untuk memacu pemulihan ekonomi negara secara langsung.

 

Jangan bazirkan masa dan tenaga menguruskan karenah birokrasi.

 

Teruskan usaha anda semua dan bantu rakyat Malaysia!   - DagangNews.com

 

Suryani Mohammad
Johir Bahru