Makin ramai penduduk luar bandar Sabah sedar kepentingan vaksin | DagangNews Skip to main content

Makin ramai penduduk luar bandar Sabah sedar kepentingan vaksin

vaksinasi Sabah

KUALA LUMPUR 14 Julai - Kesedaran mengenai kepentingan vaksin COVID-19 dalam kalangan masyarakat luar bandar di Sabah semakin tinggi.

 

Menteri Pembangunan Luar Bandar Sabah, Datuk Jahid Jahim berkata, perkara itu dapat dilihat menerusi Program Outreach Vaksinasi COVID-19 di kawasan luar bandar yang mendapat sambutan amat menggalakkan apabila ramai penduduk hadir untuk mendapatkan suntikan vaksin.

 

Menurut beliau, perkembangan itu dilihat setelah pelbagai usaha penerangan dan penjelasan dilakukan kepada golongan berkenaan.

 

"Isu vaksinasi penduduk di kawasan luar bandar di Sabah pada masa ini bukan lagi mengenai kesedaran, sebaliknya lebih kepada memastikan proses vaksinasi di kawasan itu dapat dilaksanakan dengan sempurna walaupun menghadapi pelbagai cabaran.

 

"Sebelum ini sesuatu yang berikan kita tekanan kerana kefahaman (tentang vaksin COVID-19) itu tidak wujud tetapi setelah diberi kefahaman melalui pelbagai platform antaranya bersemuka dan media sosial, kelihatan semangat mereka (dapatkan vaksin) mendahului daripada bekalan (vaksin) yang ada. Ini sangat baik," katanya seperti dilapor Bernama.

 

Mengulas lanjut, proses pemberian vaksin hingga kini berjalan lancar dan berharap bekalan vaksin diperoleh mengikut perancangan.

 

Susulan perkembangan tersebut, beliau memaklumkan perancangan untuk melaksanakan satu lagi Program Outreach Vaksinasi COVID-19 di Tamparuli.

 

Program Outreach Vaksinasi COVID-19 di Kampung Bunga Tenghilan, Tamparuli yang berlangsung selama dua hari bermula hari ini menyasarkan pemberian kira-kira 1,800 dos vaksin COVID-19 untuk penduduk.

 

Semalam, kadar vaksinasi harian di Sabah yang direkodkan adalah sebanyak 19,984.

 

Jumlah berkenaan meliputi 10,120 pemberian dos pertama dan 9,864 pemberian dos kedua.

 

Secara kumulatifnya, Sabah mencatatkan peratusan populasi divaksin sebanyak 10.9% bagi dos pertama dan 8.3% bagi penerima dos kedua. - DagangNews.com