Malacca Securities ramal prospek OSK positif dipacu pendapatan mampan segmen hartanah | DagangNews Skip to main content

Malacca Securities ramal prospek OSK positif dipacu pendapatan mampan segmen hartanah

Oleh NOR AZAN FITRI AHMAD HIDZIR

KUALA LUMPUR 31 Mei - Malacca Securities meramalkan prospek positif untuk OSK Holdings Bhd dipacu oleh segmen hartanah yang menyediakan pendapatan mampan dengan jualan yang belum dibil sebanyak RM1.1 bilion.

 

Katanya, bank tanah kumpulan seluas 768 hektar dengan nilai pembangunan kasar (GDV) RM16.2 bilion kekal sebagai antara penyumbang utama kepada prestasi mereka.

 

Firma penyelidikan itu berkata, segmen perindustrian dijangka menampilkan prestasi yang lebih baik pada separuh kedua tahun ini dengan peningkatan permintaan daripada pusat data serta syarikat utiliti.

 

"Selain itu, segmen perkhidmatan kewangan seharusnya menampilkan prestasi lebih baik daripada pengagihan pinjaman daripada kepelbagaian tawaran produk," katanya dalam satu nota kajian, hari ini.

 

Terdahulu, untung bersih kumpulan bagi suku pertama berakhir 31 Mac 2024 (1QFY24) meningkat 10% kepada RM122.93 juta daripada RM115.09 juta berbanding suku ama pada tahun sebelumnya.

 

Keputusan itu didorong oleh peningkatan hasil sebanyak 10% kepada RM367.94 juta berbanding RM333.20 juta berbanding tahun lalu.

 

Segmen hartanah, perkhidmatan kewangan, industri dan pegangan pelaburan merupakan penyumbang utama keuntungandengan industri dan segmen perkhidmatan kewangan masing-masing mencatat pertumbuhan 59% dan 42%, berbanding tempoh sama tahun lepas.

 

Firma penyelidikan itu berkata, walaupun berlaku penurunan hasil dari suku tahun ke suku tahun sebanyak 13.1%, keuntungan selepas cukai dan kepentingan minoriti (PATMI) teras kumpulan melonjak 25.7% diimbangi keuntungan lebih kukuh segmen perkhidmatan kewangan dan pegangan pelaburan.

 

Katanya, dari tahun ke tahun, PATMI teras meningkat 6.8% seiring  peningkatan hasil yang disumbangkan oleh semua segmen perniagaan kecuali bahagian hospitaliti dan pegangan pelaburan.

 

"Kami menyemak naik penarafan kumpulan kepada 'beli' daripada 'pegang' dengan harga sasaran (TP) RM1.96 sesaham," katanya.- DagangNews.com