Malacca Securities semak naik unjuran pendapatan FY22, FY23 Optimax Holdings sebanyak 5.1% dan 3.3% | DagangNews Skip to main content

Malacca Securities semak naik unjuran pendapatan FY22, FY23 Optimax Holdings sebanyak 5.1% dan 3.3%

oleh NOR AZAN FITRI AHMAD HIDZIR

KUALA LUMPUR 30 Nov - Malacca Securities menyemak naik unjuran pendapatan FY22 serta FY23 Optimax Holdings Berhad masing-masing sebanyak 5.1% kepada RM14.4 juta dan 3.3% kepada RM14.5 juta didorong pertambahan bilangan pakar bedah. 

 

Firma itu berkata, langkah-langkah pembendungan COVID-19 telah dilonggarkan dan membawa cawangan kumpulan itu ke tahap pra pendemik.

 

"Kami kekal yakin dengan prospek kumpulan itu terutama dengan perkembangan rangkaian pusat jagaan ambulatori (ACC)," katanya dalam satu nota kajian hari ini.

 

Terdahulu, untung bersih teras kumpulan bagi 3QFY22  menyusut sebanyak 31.1% kepada RM3.7 juta tetapi untung teras bersih bagi 9MFY22 meningkat 25.2% kepada RM10.9 juta.

 

Keputusan itu melebihi jangkaan firma itu sebanyak 79.3% daripada unjuran setahun penuh kami sebanyak RM13.7 juta dan 77.5% daripada ramalan konsensus pada RM14 juta.

 

Firma itu berkata, klinik satelit pertama kumpulan itu di Skudai, Johor, dan ACC baharu di Bahau, Negeri Sembilan telah mula beroperasi pada 3QFY22.

 

Sehingga kini, kumpulan itu mengendalikan rangkaian 13 ACC, satu hospital pakar dan satu klinik satelit dengan lima lagi klinik satelit yang sedang menjalani pengubahsuaian.

 

Menerusi kerjasama dengan Selgate Healthcare Sdn. Bhd., kedua-dua pihak telah bersetuju untuk melanjutkan kerjasa yang tamat pada 17 Disember 2022 selama 24 bulan.

 

Sementara itu, tiada perkembangan mengenai kerjasama dengan Sena Resources Sdn Bhd (SENA) dan Hospital Pakar Mata Kempas Sdn. Bhd. 

 

"Kami mengekalkan saranan 'beli' dengan harga sasaran (TP) RM1.07 sesaham," katanya. - DagangNews.com