Malaysia Airlines penting kepada negara - Khazanah | DagangNews Skip to main content

Malaysia Airlines penting kepada negara - Khazanah

 

 

Oleh ZUNAIDAH ZAINON
zunaidah@dagangnews.com

 

KUALA LUMPUR 4 Mac - Malaysia Airlines masih syarikat penerbangan yang strategik kepada negara terutama sewaktu krisis seperti pandemik COVID-19, menurut Pengarah Urusan Khazanah Nasional Berhad, Datuk Shahril Ridza Ridzuan. 

 

"Apabila syarikat penerbangan lain tidak dapat terbang, kita masih memerlukan syarikat penerbangan nasional untuk menghubungkan kita dengan dunia dan membawa kargo yang bernilai seperti vaksin COVID-19. 

 

"Ketika krisis ini, Malaysia Airlines telah membuktikan peranannya yang lebih ke hadapan dengan membawanya ke Malaysia," katanya ketika sidang akhbar Ulasan Tahunan 2021 Khazanah secara maya hari ini.

 

Penerbangan Malaysia Airlines MH604 dengan menggunakan pesawat Airbus 330-300 yang dikendalikan MABkargo Sdn. Bhd (MASKargo) mencipta sejarah tersendiri apabila menerbangkan kumpulan pertama vaksin Pfizer-BioNTech, 21 Februari lalu.

 

Malaysia Aviation Group Bhd (MAG) pada 22 Februari lalu, memaklumkan bahawa Mahkamah Tinggi Kehakiman England dan Wales telah meluluskan Skim Pengaturan di bawah Bahagian 26 Akta Syarikat UK 2006 membabitkan entiti penyewaan MAG, MAB Leasing Ltd dan sebahagian besar pemberi pajak pengendali pesawat MAG.

 

Skim itu yang mendapat sokongan sebulat suara daripada pemberi pajak berkaitan mewakili komponen penting dalam pelaksanaan penyusunan semula MAG yang lebih meluas yang akan mencapai pengurangan liabiliti MAG yang melebihi RM15 bilion.

 

Langkah penyusunan semula kewangan ini dijangka selesai pada awal Mac 2021, membabitkan semua pihak berkepentingan utama MAG.

 

Susulan itu, Khazanah menyuntik sehingga RM3.5 bilion bagi tempoh lebih 5 tahun di bawah pelan pemulihan Malaysia Airlines.

 

Shahril Ridza berkata, atas sebab itu, pelaburan yang dibuat oleh Khazanah bagi tempoh beberapa tahun akan datang dapat memastikan syarikat penerbangan ini kembali pulih dan mampu memberi sokongan kepada ekonomi dan juga infrastruktur.

 

Sebagai pemegang saham tunggal MAGB, katanya, Khazanah terus memberikan sokongan penuh dan bekerjasama erat dalam usaha untuk memastikan kelangsungan syarikat penerbangan tersebut pasca pandemik kelak. 

 

MAGB seterusnya akan menumpukan usaha untuk bekerjasama dengan kerajaan dan pemegang berkepentingan lain untuk memulakan semula aktiviti perjalanan udara dan merangsang pemulihan industri berkenaan, selain menguruskan simpanan tunai dan menguasai permintaan yang dijangka bakal pulih, yang merupakan sebahagian daripada usaha penstrukturan semula dalamannya.

 

 

Sumber : Khazanah Nasional Berhad

 

 

Mengenai keyakinan terhadap kejayaan pelan pemulihan Malaysia Airlines, beliau berkata, tiada jaminan dapat diberikan buat masa sekarang tetapi apa yang dilakukan kerajaan mahupun Khazanah dalam penstrukturan ketika ini adalah berunding secara baik dengan semua pihak berkepentingan. 

 

Tegasnya, untuk meletakkan Malaysia Airlines di kedudukan tinggi sebelum ini, sebahagiannya daripadanya bukan masalah yang berkait dengan syarikat penerbangan ini. 

 

"Hakikatnya, Malaysia telah lama berdepan dengan masalah lebihan bekalan dalam industri penerbangan, malah sebelum pandemik COVID-19 lagi. 

 

"Semua syarikat penerbangan di negara ini secara dasarnya berdepan dengan masalah lebihan bekalan dan juga tekanan dari segi harga," katanya. 

 

Menurutnya lagi, jika penggabungan industri penerbangan pasca COVID-19 dalam situasi kekurangan bekalan ia akan menyebabkan lebih banyak syarikat penerbangan akan musnah dan di dalam pasaran kini ia telah berlaku akibat daripada kejatuhan permintaan di seluruh negara.

 

Ketika ditanya sama ada Khazanah akan mengurangkan pegangan dalam Malaysia Airlines selepas ia kembali pulih, Shahril Ridza berkata, ia masih di peringkat awal. 

 

Khazanah akan kekal sebagai pemegang  saham terbesar syarikat  penerbangan nasional itu menuju  ke depan, tambahnya.

 

Ini kerana, sebahagian daripadanya masih bergantung kepada industri penerbangan ketika ini yang mana ia boleh dilakukan sama ada menerusi prosedur penjualan semula atau insolvensi. 

 

"Oleh itu, sebarang perbincangan mengenai pelan untuk membawa masuk pelabur baharu hanya akan berlaku sekiranya industri penerbangan kembali pulih dan kami tidak menjangkakannya sehingga 2023 atau paling awal 2022," tambahnya. 

 

Mengenai prospek industri, beliau menjangkakan ia akan terus berdepan cabaran sehingga sekurang-kurangnya awal 2024 tetapi bergantung kepada pembukaan semula sempadan antarabangsa.

 

Sepanjang 2020, Khazanah terpaksa mengambil langkah-langkah berkesan untuk mengekang penyebaran COVID-19 yang mengakibatkan sektor pelancongan, perhotelan dan penerbangan menerima kesan paling ketara. 

 

"Syarikat pelaburan kami seperti Malaysia Airlines (MAB), Malaysia Airports Holdings (MAHB) dan Themed Attractions Resorts & Hotels (TAR&H) tidak terlepas daripada menerima kesan akibat pandemik ini. 

 

"Khazanah terpaksa memperuntukkan rosot nilai bagi beberapa aset miliknya, iaitu RM3.1 bilion untuk syarikat induk MAB, Malaysia Aviation Group Berhad (MAGB) dan RM1.8 bilion untuk TAR&H, bagi megurangkan impak akibat pandemik ini," jelasnya. 

 

Keuntungan daripada operasi yang dicatatkan Khazanah susut 60.8% kepada RM2.9 bilion pada 2020 berbanding RM7.4 bilion pada tahun sebelumnya akibat pandemik COVID-19. - DagangNews.com