Malaysia berperanan penting rapatkan hubungan China dengan negara Asean - Ismail Sabri | DagangNews Skip to main content

Malaysia berperanan penting rapatkan hubungan China dengan negara Asean - Ismail Sabri

Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berucap pada Majlis Sambutan Ulang Tahun ke-50 Hubungan Diplomatik Malaysia-China dalam Ekonomi dan Kerjasama Perdagangan serta Pertukaran Pembangunan dan Jalinan Rangkaian di Haidan, Beijing pada Selasa.
Oleh Mohamad Iman

KUALA LUMPUR 4 Sept - Malaysia memainkan peranan penting dalam merapatkan hubungan rantau ini dengan China apabila mempengerusikan Asean pada tahun hadapan, kata bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob.

 

Beliau berkata, peranan Malaysia selaku Pengerusi Asean adalah sangat kritikal memandangkan cabaran dan isu-isu semasa sama ada di peringkat serantau mahupun antarabangsa semakin getir dan mencabar.

“China sudah tentu boleh memainkan peranan yang penting melalui kerjasama dialog antara Asean-China, Asean 10 dan Forum Serantau Asean Regional Forum (ARF).

 

“Selaku sebuah badan Bukan Kerajaan atau NGO, Persatuan Muafakat One Belt One Road Malaysia (PMOBOR) sentiasa menghulurkan tangan untuk turut mempromosi kerjasama antara Malaysia dan China,” katanya.

 

Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Sambutan Ulang Tahun ke-50 Hubungan Diplomatik Malaysia-China dalam Ekonomi dan Kerjasama Perdagangan serta Pertukaran Pembangunan dan Jalinan Rangkaian di Haidan, Beijing pada Selasa.

 

Ismail Sabri berucap pada Majlis Sambutan Ulang Tahun ke-50 Hubungan Diplomatik Malaysia-China dalam Ekonomi dan Kerjasama Perdagangan serta Pertukaran Pembangunan dan Jalinan Rangkaian di Haidan, Beijing.

 

 

ismail sabri

 

ismail sabri

 

 

Terdahulu, Pejabat Pusat Kerjasama Perdagangan Kebudayaan Antarabangsa (ICTCC) - PMOBOR telah dirasmikan oleh Presiden PMOBOR, Datuk Iskandar Sarudin mewakili Ismail Sabri di Zon Ekonomi Lapangan Terbang Antarabangsa Daxing, Beijing.

 

Ismail Sabri yang juga Penaung PMOBOR berharap masyarakat perdagangan Malaysia dan China mengambil kesempatan ini untuk mempromosi produk-produk khususnya produk Halal antara kedua-dua negara untuk meningkatkan lagi jumlah perdagangan.

 

“Harapan saya juga agar negara-negara ASEAN menggunakan platform ICTCC ini untuk mempromosi produk-produk mereka secara dalam talian atau off-line.

 

“Saya juga sentiasa mengikuti perkembangan dan kemajuan hubungan ini dan sedar bahawa kedua-dua negara saling komited untuk meningkatkan kerjasama dalam pelbagai bidang khususnya di bawah Rangka Strategik dan Komprehensif termasuk rangka kerjasama Belt and Road Initiatives (BRI),” katanya. - DagangNews.com