Malaysia-Brunei tingkat kerjasama rancakkan industri pelancongan | DagangNews Skip to main content

Malaysia-Brunei tingkat kerjasama rancakkan industri pelancongan

Malaysia-Brunei

Oleh MUHAMMAD ARIEF CHE SOH
[email protected]

 

 

KUALA LUMPUR 24 Jun - Malaysia dan Brunei akan meningkatkan kerjasama bagi meneroka potensi kemajuan dalam industri pelancongan budaya.

 

Kementerian Pelancongan Seni dan Budaya (MOTAC) dalam satu kenyataan berkata, usaha tersebut adalah bagi membantu dan memberi sokongan kepada para penggiat dan pemain industri kedua-dua negara sekali gus merancakkan lagi industri seni dan budaya.

 

"Perincian mengenai usaha tersebut akan dibincangkan bersama Menteri Kebudayaan, Belia dan Sukan Brunei, Datuk Paduka Seri Aminuddin Ihsan Pehin Orang Kaya Saiful Mulok Datuk Seri Paduka Abidin dalam masa terdekat.

 

"Perkara itu dinyatakan secara ringkas oleh kedua-dua Menteri semasa Menteri Kebudayaan, Belia dan Sukan Brunei membuat panggilan telefon untuk mengucapkan takziah kepada Menteri MOTAC, Datuk Seri Nancy Shukri atas pemergian ibunya Khamis lalu," jelas MOTAC.

 

Mengulas mengenai usaha tersebut, Nancy turut memberi contoh mengenai program Asia Traditional Orchestra (ATO) 2020 yang pernah dianjurkan oleh Bahagian Hubungan Antarabangsa Kebudayaan MOTAC dengan kerjasama pihak Asia Cultural Center (ACC) Gwanju, Korea menerusi platform digital.

 

Tujuan utama penganjuran program tersebut adalah untuk memperkukuhkan kerjasama berkaitan pertukaran budaya serta mengangkat seni persembahan tradisional ke peringkat antarabangsa. 

 

Program tersebut diadakan bersempena sambutan ulang tahun ke-60 hubungan diplomatik antara Malaysia dan Republik Korea.

 

Perbualan antara kedua-dua menteri tersebut turut menyentuh berkaitan Program Imunisasi COVID-19.

 

Kedua-dua menteri telah menyatakan bahawa tumpuan juga harus diberikan kepada golongan muda agar imuniti kelompok dapat dicapai dalam masa terdekat.

 

"Langkah itu juga dilihat dapat memberi keyakinan kepada orang ramai serta masyarakat dunia bahawa penduduk di kedua-dua negara telah bersedia untuk menyambut kedatangan pelancong apabila tiba masanya nanti," tambah MOTAC. - DagangNews.com