Malaysia capai imuniti kelompok tahun ini mendahului negara maju - Standard Chartered | DagangNews Skip to main content

Malaysia capai imuniti kelompok tahun ini mendahului negara maju - Standard Chartered

KADAR vaksinasi yang pantas akan menjadi pemangkin kepada pembukaan semula ekonomi Malaysia dengan mampan. - Gambar Facebook Kementerian Kesihatan Malaysia

 

Oleh ANIS FARHANAH MALEK
anisfarhanah@dagangnews.com

 

KUALA LUMPUR 16 Julai - Malaysia antara beberapa buah negara di rantau Asia yang diramalkan mampu mencapai sasaran imuniti kelompok menjelang hujung tahun ini. 

 

Berdasarkan kadar vaksinasi ketika ini, Malaysia ‘bergerak’ seiring Hong Kong, Kesatuan Eropah (EU), China dan Singapura untuk melepasi sasaran imuniti kelompok 70% populasi pada tahun 2021. 

 

Malah, menurut data yang disediakan Standard Chartered, Malaysia dijangka mendahului Amerika Syarikat (AS), Korea Selatan, Indonesia, Thailand, Filipina, Taiwan dan Vietnam. 

 

Jelas Standard Chartered, kadar vaksinasi yang lebih pantas akan mempercepatkan lonjakan semula ekonomi negara seiring peralihan Malaysia ke Fasa 3 dan 4 dalam Pelan Pemulihan Negara (PPN). 

 

“Buat masa ini, lapan daripada 13 buah negeri telah beralih ke Fasa 2. Beberapa daerah di Selangor dan Kuala Lumpur, bagaimanapun di bawah penguatkuasaan Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD). 

 

“Selangor dan Kuala Lumpur menyumbang kira-kira 40% daripada Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) Malaysia. Penguatkuasaan PKP penuh telah mengganggu pemulihan ekonomi pada suku pertama (Q1).

 

"Namun, pelaksanaan vaksinasi yang pantas akan membolehkan pembukaan semula ekonomi yang lebih mampan apabila gelombang jangkitan ketika ini berkurangan,” jelas Standard Chartered dalam nota kajian ringkas, ‘Malaysia – A bumpy ride’.

 

Bank itu baru-baru ini menyemak turun unjuran KDNK Malaysia pada tahun 2021 kepada 4.7% daripada 6.3% setelah mengambil kira impak ‘lockdown’ yang sedang dikuatkuasakan. 

 

Jelas Standard Chartered, pemulihan ekonomi negara daripada krisis ini mungkin tidak menentu, namun permintaan luaran akan terus menjadi sumber sokongan utama.

 

Sementara, perbelanjaan pengguna pula mungkin disokong oleh beberapa langkah fiskal dan simpanan yang dikumpul oleh rakyat.

 

Dari segi inflasi keseluruhan, bank itu meningkatkan unjuran bagi tahun ini kepada purata 2.8% berdasarkan harga minyak yang lebih tinggi, daripada 2.5% ramalan kadar inflasi sebelum ini.

 

Sehubungan itu, Standard Chartered menjangkakan Bank Negara Malaysia (BNM) akan mula mengembalikan kadar dasar semalaman (OPR) pada tahap normal menjelang suku ketiga tahun 2022 (3Q22) daripada paras terendahnya.

 

“Kami melihat terdapat dua kali peningkatan 25 mata asas (bps) pada Q3 dan tambahan 25 bps lagi pada Q4, sekali gus membawa kadar dasar kepada 2.5% sebelum dikekalkan buat sementara waktu,” tambah bank itu lagi. - DagangNews.com