Malaysia di kedudukan ke-26 Indeks Prestasi Logistik Bank Dunia 2023, kedua terbaik selepas Singapura di ASEAN | DagangNews Skip to main content

Malaysia di kedudukan ke-26 Indeks Prestasi Logistik Bank Dunia 2023, kedua terbaik selepas Singapura di ASEAN

Oleh NOR AZAN FITRI AHMAD HIDZIR

KUALA LUMPUR 26 April - Malaysia naik 15 anak tangga ke tempat ke-26 dalam Indeks Prestasi Logistik (LPI) Bank Dunia 2023, dan menduduki tempat kedua di belakang Singapura dalam kalangan negara ASEAN.

 

Ketua Pengarah Produktiviti Malaysia (MPC), Datuk Abdul Latif Abu Seman berkata, Malaysia menduduki tempat ke-41 pada 2018 manakala pada edisi 2016, Malaysia menduduki tempat ke-32.

 

“Kedudukan terbaik yang dicapai Malaysia ialah ke-25 dalam laporan LPI 2014 Bank Dunia,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

 

Presiden Logistics Productivity Nexus (LPN), Datuk Seri Michael Tio berkata, jika Malaysia terus menajdikan Singapura sebagai penanda aras, sudah pasti Malaysia akan meletakkan dirinya dalam 10 teratas kedudukan LPI.

 

Beliau berkata, Malaysia mempunyai infrastruktur yang komprehensif untuk industri logistik berkembang maju,selain rangkaian hubungan yang baik melalui darat, laut dan udara tetapi menambah bahawa ia mempunyai banyak ruang untuk penambahbaikan untuk menjadi destinasi logistik pilihan di ASEAN.

 

“Ketidakpadanan institusi dan peraturan, kesesakan di sempadan, aktiviti rantaian nilai rendah, dan tenaga kerja yang tidak mencukupi dan tidak mahir masih perlu ditangani. 

 

"LPN, didorong oleh industri dengan sokongan kerajaan, akan terus menangani isu-isu ini secara berstruktur,” katanya.

 

Bagi kedudukan LPI 2023, Thailand menduduki tempat ke-34, diikuti bersama oleh Filipina dan Vietnam (ke-43), Indonesia (ke-61) dan kedua-dua Laos serta Kemboja (ke-115).

 

Abdul Latif berkata, edisi terbaharu laporan itu merangkumi prestasi logistik perdagangan terkini 139 negara, dan berfungsi sebagai alat penanda aras untuk membantu negara mengenal pasti tempat penambahbaikan dalam logistik perdagangan antarabangsa boleh dilakukan untuk meningkatkan daya saing.

 

LPI mengukur kemudahan untuk mewujudkan sambungan rantaian bekalan yang boleh dipercayai dan tepat pada masanya serta faktor struktur yang memungkinkan, seperti kualiti perkhidmatan logistik, infrastruktur berkaitan perdagangan dan pengangkutan serta kawalan sempadan.

 

“Edisi LPI 2023 terbaharu memperkenalkan set baharu penunjuk prestasi utama, yang diperoleh daripada pendekatan Big Data, mengukur kelajuan perdagangan di seluruh dunia,” kata Michael sambil menambah bahawa penunjuk adalah berdasarkan kemajuan teknologi dalam menjejaki pergerakan antarabangsa frekuensi tinggi sebenar perkapalan maritim, kontena, pengangkutan udara, dan bungkusan pos melalui lorong perdagangan dan pintu masuk. - DagangNews.com