Malaysia dijangka atasi saham Asia, ekonomi terima manfaat tidak langsung jika Trump kembali berkuasa - Nomura | DagangNews Skip to main content

Malaysia dijangka atasi saham Asia, ekonomi terima manfaat tidak langsung jika Trump kembali berkuasa - Nomura

Donal Trump - Gambar AFP
Oleh NOR AZAN FITRI AHMAD HIDZIR

KUALA LUMPUR 4 Sept - Malaysia dijangka mengatasi prestasi saham Asia selain Jepun dan pada masa sama ekonominya memperoleh manfaat tidak langsung sekiranya Donald Trump kembali berkuasa buat kali kedua, kata Nomura Global Markets Research.

 

Firma penyelidikan itu berkata, peralihan rantaian bekalan yang berterusan boleh mempercepatkan dan mengurangkan sebarang kesan perdagangan selain terdapat juga faktor lain seperti pembaharuan struktur, pelaburan teknologi dan projek infrastruktur mega.

 

"Faktor-faktor ini menyediakan imbangan ketara yang mungkin akan terus mencatatkan peningkatan dari semasa ke semasa," katanya dalam satu nota kajian mengenai potensi Trump selaku presiden bagi penggal kedua.

 

Malaysia mencatatkan peningkatan pelaburan langsung asing (FDI) dari Amerika Syarikat (AS) dan China, ketika syarikat global berusaha untuk mengelak tarif tinggi yang dikenakan semasa penggal pertama Trump sebagai Presiden AS antara 2017-2021.

 

Sebagai calon presiden Republikan terbaharu, Trump akan menyertai pilihan raya AS pada November 2024, menjanjikan dasar perdagangan yang jauh lebih tegas daripada yang dilaksanakan semasa penggalnya sebelum ini, dan mungkin meningkatkan perang perdagangan dengan China.

 

“Malaysia… mempunyai skop terbesar untuk meningkatkan rantaian nilai” dan sektor elektroniknya diramal berada di barisan hadapan dalam aliran pelaburan, kata Nomura.

 

Malaysia menjadi tuan rumah beberapa syarikat elektrik dan elektronik terbesar dunia, daripada gergasi semikonduktor, Intel kepada pembuat elektronik pengguna, Samsung dan syarikat komputer, Western Digital kepada pengeluar alat kuasa Bosch.

 

Negara ini juga merupakan pengeksport semikonduktor ketujuh terbesar dengan 7% bahagian pasaran global, dan menyumbang 13% daripada bahagian global pemasangan, ujian dan pembungkusan cip dalam rantaian bekalan, menurut Persatuan Industri Semikonduktor Malaysia.

 

“Ini merupakan sebahagian daripada rantaian bekalan semikonduktor yang merupakan proses pembuatan yang diperlukan dalam aliran kerja pengeluaran” bagi semua produk elektrik dan elektronik, kata Nomura.

 

Pada masa sama, firma penyelidikan itu meramalkan Inari Amertron Bhd dan Globetronics Technology Bhd akan menajdi penerima manfaat besar.

 

Tarif yang lebih tinggi ke atas barangan China di bawah Trump boleh meningkatkan industri sarung tangan getah Malaysia dan pengeluar seperti Hartalega Holdings Bhd dan Top Glove Corp Bhd boleh mendapat manfaat daripada kenaikan tarif, kata firma itu.

 

Selanjutnya, peningkatan tarif oleh China ke atas produk ladang Amerika, termasuk kacang soya, boleh meningkatkan permintaan untuk minyak sawit dan memberi kesan positif kepada pengeluar seperti Kuala Lumpur Kepong Bhd dan IOI Corporation Bhd.- DagangNews.com