Malaysia dipilih jadi ibu pejabat Music Tribe | DagangNews Skip to main content

Malaysia dipilih jadi ibu pejabat Music Tribe

KUALA LUMPUR 9 Julai - Selaras dengan usaha untuk menerajui strategi Transformasi Digital Global, syarikat pengeluar produk audio dan instrumen muzik antarabangsa, Music Tribe memilih Malaysia sebagai ibu pejabatnya.

Menteri Kanan Perdagangan Antarabangsa dan Industri, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali berkata, sokongan penuh diberikan kepada syarikat berkenaan dan pengumuman tersebut adalah sejajar dengan pelancaran Lighthouse Project oleh Lembaga Pembangunan Pelaburan Malaysia (MIDA), baru-baru ini.

"Kita sokong penuh usaha berani Music Tribe yang mahu memasuki Industri 4.0 negara. Pengumuman ini juga adalah kemenangan penting bagi Malaysia dan sebagai bukti usaha negara dalam menarik pelaburan strategik berkualiti tinggi daripada syarikat antarabangsa.

"Bekalan bakat berkemahiran, ekosistem industri yang cergas dan dasar perniagaan yang menyokong penyediaan semua kriteria dapat memanfaatkan peluang pelaburan kepada syarikat multinasional," katanya dalam satu kenyataan.

Menteri Kanan Perdagangan Antarabangsa dan Industri, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali
Menteri Kanan Perdagangan Antarabangsa dan Industri, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali

 

Sehingga kini, Music Tribe mempunyai lebih 20,000 peruncit dan pengedar di 134 buah negara seperti United Kingdom (UK), Denmark, Sweden, Kanada, Jerman, Jepun, China dan Filipina.

Syarikat tersebut turut menubuhkan ibu pejabatnya di bawah skim Hub Prinsipal pada 2019 untuk menyatukan fungsi kepemimpinan dan pengawasan global.

Behringer, Midas, Klark Teknik, Lab Gruppen, Lake, Tannoy, Turbosound dan beberapa jenama lain adalah antara jenama tersohor syarikat berkenaan.

Dalam kenyataan yang sama, Azmin memberitahu, kejayaan pelaksanaan projek itu perlu dicontohi oleh pihak berkepentingan industri serta bertindak menerapkan elemen pendigitalan dan automasi dalam operasi masing-masing. 

"Ini pada akhirnya akan meletakkan Malaysia dalam kalangan negara perusahaan global yang memiliki pelaksanaan teknologi dan inovasi selain dapat mewujudkan peluang pekerjaan penting dalam bidang penyelidikan dan pembangunan, rantaian bekalan, automasi, e-dagang, pemasaran dan kewangan.

"Music Tribe akan turut mengembangkan operasinya dengan mewujudkan fasiliti di Kawasan Perindustrian Kulim Hi Tech di Kedah yang dipacu platform berasaskan Industri 4.0 dan tenaga robotik sepenuhnya," katanya.

Syarikat itu juga sedang bekerjasama dengan Microsoft serta Siemens bagi menghasilkan rekaan 'Digital Twin' atau paparan maya keseluruhan reka bentuk dan aliran proses pembuatan sekali gus membuka kilang baharu yang dijangka beroperasi menjelang akhir 2021.

Usaha itu akan mendigitalkan keseluruhan rangkaian bekalan Music Tribe bermula daripada peringkat reka bentuk, pembuatan, pemasaran e-dagang sehingga perkhidmatan selepas jualan.

Sementara itu, Ketua Pegawai Eksekutif Music Tribe, Behringer berkata, antara faktor pemilihan Malaysia adalah disebabkan oleh kelebihan daya saing negara ini bagi menempatkan Hab Prinsipal.

"Sebelum ini, kita melalui proses penilaian terperinci bagi mengenal pasti lokasi terbaik untuk menempatkan ibu pejabat. Fokus utamanya adalah aspek jarak untuk pelanggan, tenaga kerja, rantaian bekalan serta sokongan kerajaan.

"Sejak berada di sini, kita telah mendapat sokongan padu daripada kerajaan Malaysia dan inilah lokasi terbaik," katanya. - DagangNews.com