Malaysia jatuh lima anak tangga, berada di kedudukan ke-62 Indeks Persepsi Rasuah 2021 | DagangNews Skip to main content

Malaysia jatuh lima anak tangga, berada di kedudukan ke-62 Indeks Persepsi Rasuah 2021

KUALA LUMPUR 25 Jan - Malaysia jatuh lima anak tangga untuk berada di kedudukan ke-62 daripada 180 negara mengikut Indeks Persepsi Rasuah (CPI) 2021 yang dikeluarkan Transparency International Malaysia's (TI-M), hari ini.

 

Ia merupakan tahun kedua berturut-turut Malaysia mencatatkan penurunan selepas meraih mata di bawah 50 iaitu 48 pada 2021, 51 dan 53 mata masing-masing pada tahun 2020 dan 2019.

 

Presiden TI-M, Dr. Muhammad Mohan berkata, kegagalan melaksanakan reformasi terhadap beberapa institusi di dalam negara menjadi antara punca menyebabkan kejatuhan kedudukan Malaysia dalam CPI 2021 dan antara faktor yang menyumbang kepada isu itu ialah ketiadaan kehendak politik oleh parti kerajaan untuk membentangkan Rang Undang-undang (RUU) Pendanaan Politik.

 

"Kegagalan usaha mereformasi isu pendanaan terhadap politik negara itu membabitkan kesemua parti kerajaan sebelum ini iaitu Barisan Nasional (BN), Pakatan Harapan (PH) dan Perikatan Nasional (PN).

 

"Atas dasar itu politik wang masih dilihat berleluasa dan ia dilihat sebagai suatu bentuk rasuah," katanya.

 

Muhammad berkata, kegagalan reformasi institusi juga boleh dilihat apabila cadangan RUU penubuhan Suruhanjaya Bebas Aduan dan Salah Laku Polis (IPCMC) telah disemak semula kepada RUU Suruhanjaya Bebas Tatakelakuan Polis (IPCC) yang lemah dan tidak berkesan.

 

Katanya, cadangan reformasi terhadap Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) oleh beberapa pertubuhan masyarakat civil termasuk TI-M juga didapati masih tidak dilaksanakan.

 

1mdb
Perbicaraan kes 1MDB juga mempengaruhi kedudukan CPI 2021. 

 

"Faktor lain turut menyumbang kepada kejatuhan negara dalam CPI 2021 adalah pembebasan beberapa individu berprofil tinggi dalam beberapa kes rasuah dengan penjelasan sangat sedikit daripada Pejabat Peguam Negara.

 

"Dua kes salah guna kuasa berprofil tinggi membabitkan SRC International Sdn. Bhd. dan 1Malaysia Development Berhad (1MDB) juga masih belum selesai dibicarakan," katanya lapor Sinar Harian.

 

Dalam pada masa, Muhammad berkata, penggantungan Parlimen pada tahun lepas turut memberikan kesan negatif terhadap prestasi CPI Malaysia memandangkan terdapat pakej rangsangan kewangan besar yang dilaksanakan tanpa perbahasan dan penelitian Dewan Rakyat.

 

“Jadi itu adalah beberapa faktor yang mungkin mempengaruhi skor CPI (Malaysia) di samping kurangnya kemahuan politik dalam bidang pentadbiran untuk memerangi rasuah institusi (institutional corruption),” katanya.

 

Antara faktor penyumbang lain kepada penurunan itu termasuk pelantikan ahli politik tanpa pengalaman untuk mengetuai syarikat berkaitan kerajaan dan syarikat pelaburan berkaitan kerajaan selain kekurangan kemajuan terhadap Akta Perlindungan Pemberi Maklumat 2010 selain dapatan kurang baik bagi isu urus tadbir dalam laporan tahunan Ketua Audit Negara.

 

Muhammad memberikan cadangan agar mengurangkan skop Akta Rahsia Rasmi terhadap isu berkaitan kepentingan awam, meningkatkan tanggungjawab Ketua Setiausaha Negara terhadap peranan perkhidmatan awam dan penggunaan Piawaian Antarabangsa Mengenai Pakatan Integriti bagi Perolehan Kerajaan.

 

Turut disarankan ialah reformasi SPRM bagi menjadikannya benar-benar bebas dan melaporkan kepada Parlimen, pindaan Akta Perlindungan Pemberi Maklumat 2010, Pindaan Akta Kesalahan Pilihan Raya 1954 untuk memasukkan sekatan terhadap rasuah dan memasukkan perkara Salah Laku di Pejabat Awam sebagai peruntukan dalam Akta SPRM. - DagangNews.com