Malaysia luluskan pendaftaran bersyarat 2 vaksin baharu | DagangNews Skip to main content

Malaysia luluskan pendaftaran bersyarat 2 vaksin baharu

Noor Hisyam Abdullah

Noor Hisyam Abdullah.

 

Oleh MUHAMMAD ARIEF CHE SOH
arief@dagangnews.com

 

 

KUALA LUMPUR 16 Jun - Mesyuarat Pihak Berkuasa Kawalan Dadah (PBKD) kali ke-359 yang bersidang hari ini memberi kelulusan pendaftaran bersyarat bagi dua vaksin baharu COVID-19.

 

Ketua Pengarah Kesihatan Malaysia, Tan Sri Dr. Noor Hisyam Abdullah berkata, dua vaksin berkenaan adalah Convidecia Recombinant Novel Coronavirus Vaccine (Adenovirus Type 5 Vector), keluaran CanSino Biologics Inc, China dan Janssen COVID-19 Vaccine keluaran Johnson & Johnson.

 

Kedua-dua vaksin berkenaan yang hanya memerlukan satu dos pelalian itu telah diberi kelulusan Penyenaraian Penggunaan Kecemasan (Emergency Use Listing atau EUL) oleh Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO). 

 

Tambah beliau, pendaftaran Janssen COVID-19 Vaccine yang diperolehi oleh kerajaan Malaysia melalui fasiliti COVAX itu dilaksanakan melalui mekanisme perakuan (recognition) ke atas kelulusan WHO EUL.

 

"Selain itu, PBKD turut meluluskan penggunaan vaksin Comirnaty keluaran Pfizer-BioNTech kepada golongan yang berumur 12 tahun dan ke atas. 

 

"Comirnaty, sebelum ini diluluskan pendaftaran bersyarat pada 8 Januari 2021, digunakan bagi tujuan imunisasi aktif kepada individu yang berusia 18 tahun dan ke atas.

 

"Walaupun tambahan indikasi ini telah diluluskan, KKM berpandangan keutamaan pemberian vaksin masih lagi kepada kumpulan berisiko tinggi selaras dengan dasar sedia ada yang ditetapkan di bawah Program Imunisasi COVID-19 Kebangsaan (PICK)," jelas beliau dalam satu kenyataan.

 

Kelulusan pendaftaran bersyarat memerlukan maklumat kualiti, keselamatan dan keberkesanan produk vaksin dipantau dan dinilai berdasarkan data-data terkini dari semasa ke semasa. 

 

Beliau berkata, ia bagi memastikan perbandingan manfaat-risiko (benefit over risk) bagi produk-produk vaksin tersebut kekal positif.

 

"KKM akan sentiasa mempertingkatkan tahap kesihatan awam dalam memerangi wabak COVID-19 melalui perolehan bekalan vaksin yang telah dinilai daripada aspek kualiti, keselamatan dan keberkesanan oleh Bahagian Regulatori Farmasi Negara (NPRA) dan diluluskan oleh PBKD. 

 

"Kerajaan juga komited untuk memastikan penduduk Malaysia mencapai imuniti kelompok (herd immunity) selaras dengan sasaran PICK," jelasnya lagi. - DagangNews.com