Malaysia mampu tarik pelaburan dari UK, EU | DagangNews Skip to main content

Malaysia mampu tarik pelaburan dari UK, EU

Ketua Pegawai Eksekutif HSBC Malaysia, Stuart Milne

 

 

KUALA LUMPUR 5 Julai - Pembaharuan dasar amat penting dalam menarik aliran pelaburan langsung asing (FDI) ke rantau Asia Tenggara khususnya Malaysia terutama ketika berdepan mencabar akibat pandemik.

 

Ketua Pegawai Eksekutif HSBC Malaysia, Stuart Milne berkata, antara penambahbahbaikan yang boleh dilakukan bagi merangsang pelaburan termasuklah dari segi percukaian.

 

Katanya, di Malaysia, antara fokus utama di bawah program Pelan Jana Semula Ekonomi Negara (Penjana) termasuklah menawarkan insentif cukai alam usaha menarik kedatangan pelabur.

 

"Secara dasarnya, Malaysia mampu meraih manfaat utama pelaburan dari United Kingdom (UK) dan negara-negara Kesatuan Eropah (EU). 

 

"Tetapi, pelaksanaan dan penerapan dagangan, kelestarian, teknologi, trend digital dan pembaharuan semula dapat mengubah potensi ini menjadi realiti," katanya dalam kenyataan sempena seminar HSBC, EU & UK - ASEAN secara maya baru-baru ini.

 

Penjana yang dilancarkan tahun lalu, memberi beberapa insentif cukai untuk merangsang pelaburan, antaranya, galakan cukai bagi syarikat yang memindahkan operasi ke Malaysia dan membuat pelaburan baharu serta galakan pelaburan semula tambahan.

 

Menurut Stuart, Malaysia menyaksikan kemasukan aliran FDI yang signifikan dan berada dalam kedudukan terbaik untuk meningkatkan peluang menerusi rantaian bekalan ke rantau ini.

 

Pada suku pertama, FDI negara berkembang sehingga RM9.1 bilion berbanding RM6.8 bilion pada suku sebelumnya dengan EU dan UK kekal menjadi sumber pelaburan utama. 

 

"Sehubungan itu, ratifikasi perjanjian dagangan bebas termasuk Perjanjian Perkongsian Ekonomi Komprehensif Serantau (RCEP) adalah penting kerana ia dapat membantu memacu pertumbuhan dan menghapuskan banyak kekangan di samping dapat membuka pasaran ASEAN kepada aktiviti dagangan secara meluas," katanya.

 

Di samping katanya, kesedaran terhadap amalan kelestarian termasuk dalam projek infrastruktur di rantau ini dapat membuka lebih banyak pelaburan merentasi EU dan UK. - DagangNews.com