Malaysia perlu perubahan dasar tarik pelaburan - Penganalisis | DagangNews Skip to main content

Malaysia perlu perubahan dasar tarik pelaburan - Penganalisis

 

 

Oleh ZUNAIDAH ZAINON
zunaidah@dagangnews.com

 

Pelaburan langsung asing (FDI) yang merosot sehingga 68% tahun lalu memberi satu tamparan hebat kepada Malaysia ketika negara masih bergelut dengan gelombang ketiga pandemik COVID-19 dan keadaan politik yang goyah. 

 

Laporan yang dikeluarkan Persidangan Bangsa-Bangsa Bersatu mengenai Perdagangan dan Pembangunan (UNCTAD) itu menunjukkan FDI negara pada 2020 hanya berjumlah AS$2.5 bilion (RM10.1 bilion) berbanding rantau ASEAN yang lain, yang merosot secara purata sekitar 31% mencecah AS$107 bilion.   

 

Bagaimanapun, situasi semasa pandemik dan kadar jangkitan COVID-19 masih tinggi akan terus menjadi antara faktor yang mempengaruhi pemulihan dalam kemasukan pelaburan ke negara ini.  

 

Ketua Ahli Ekonomi Bank Islam Malaysia Bhd, Dr. Mohd. Afzanizam Abdul Rashid berkata, situasi yang dialami agak universal pada tahun lalu memandangkan kesan COVID-19 menyebabkan aktiviti-aktiviti ekonomi terencat termasuk dari segi pelaburan. 

 

Namun, katanya, situasi ini dijangka berubah berikutan penemuan vaksin dan sekarang, kerajaan sedang merangka strategi dan perlaksanaan program vaksinasi yang mana imuniti kelompok dijangka bakal dicapai pada Mac 2022. 

 

"Oleh itu, trend pelaburan dijangka akan lebih baik yang mana dasar-dasar kerajaan seperti dasar monetari yang ditadbir Bank Negara Malaysia (BNM) akan memastikan kos dana sentiasa kompetitif. 

 

"Perkara ini seharusnya akan menarik minat pelaburan modal yang mana kos murah akan dapat diguna pakai bagi membesarkan satu-satu perniagaan," katanya kepada DagangNews.com. hari ini.

 

Di samping itu, beliau menyifatkan, insentif pelaburan dan pelaksanaan perintah kawalan pergerakan (PKP) yang lebih terbuka mampu mengalakkan aktiviti ekonomi berikutan sektor utama dibenarkan beroperasi dengan SOP ditetapkan. 

 

"Namun demikian, pemulihan dalam pelaburan ini dijangka perlahan memandangkan situasi COVID-19 masih lagi tidak menentu memandangkan angka-angka jangkitan masih lagi tinggi," jelasnya. 

 

Baca : 2020 : Pelaburan langsung asing Malaysia menjunam 68%

 

Berdasarkan statistik terbaharu, Malaysia hanya mendapat 5% atau AS$7.8 bilion sahaja daripada AS$156 bilion yg telah dilaburkan di negara-negara ASEAN pada 2020. 

 

"Jika dibuat analisis, sebahagian besar pelaburan adalah disebabkan strategi syarikat multinasional (MNC) untuk menyesuaikan dengan keadaan ekonomi global," jelas Penganalisis Ekonomi UniKL Business School, Prof Madya Aimi Zulhazmi Abdul Rashid. 

 

Mengulas lanjut, beliau berkata, sebagai contoh, pelaburan Samsung dan Apple di Vietnam adalah untuk menyelaraskan rantaian bekalan global masing-masing yang mana Samsung sebelum ini mempunyai 6 kilang dan 2 pusat penyelidikan dan pembangunan (R&D) di Vietnam

 

Apple pula melalui rakan pengeluarnya, Foxconn, memindahkan pembuatan iPad dan MacBook dari China ke Vietnam sebagai strategi pengeluaran selari. 

 

Selain itu, Tesla turut mengumumkan untuk melabur di Indonesia serentak dengan perbincangan yang masih lagi berlangsung dengan kerajaan untuk kenderaan elektrik dan tenaga bersih. 

 

Amazon dalam masa sama melabur sebanyak AS$2.8 bilion untuk membina pusat data (iaitu Amazon Web Service) di Indonesia untuk mengelakkan dikenakan cukai ke atas perpindahan harga. 

 

Perpindahan ibu pejabat Alibaba dan Tencent ke Singapura perlu dilihat sebahagian daripada strategi MNC masing-masing, katanya.

 

"Perlu diingatkan Alibaba telah melabur di Malaysia melalui Digital Tax Free Zone (DFTZ) Sepang pada tahun sebelum ini.

 

"Ini jelas menunjukkan masih ada peluang kepada Malaysia untuk menyertai lingkungan rantaian bekalan global melalui MNC yang ada," jelas beliau.

 

mahb
Hab Cainiao Aeropolis eWTP Malaysia yang memulakan operasi secara rasminya pada November lalu sebagai hab e-penunaian baharu di KLIA Aeropolis berpotensi menyumbang kira-kira AS$10.1 bilion kepada Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) Malaysia dalam tempoh 10 tahun.

 

Aimi Zulhazmi bagaimanapun tidak menolak bahawa kedudukan FDI seperti laporan UNCTAD cukup merisaukan tambahan pula dengan situasi ekonomi dunia yang suram akibat pandemik COVID-19, perang dagangan Amerika Syarikat (AS)-China dan kejatuhan harga minyak. 

 

"Ini seperti satu tamparan hebat kepada Malaysia ditambah lagi dengan situasi politik semasa negara yang turut merisaukan rakyat Malaysia," katanya. 

 

Beliau berpendapat, Malaysia masih lagi mempunyai tarikan kepada pelabur terutama dengan kedudukan negara sebagai antara 27 negara paling kompetitif di dunia. 

 

"Malah, kerajaan Malaysia sama ada sejak zaman Barisan Nasional, Pakatan Harapan mahupun Perikatan Nasional mengamalkan dasar-dasar yang mesra perniagaan. 

 

"Dari segi insentif cukai dan lain-lain insentif, sememangnya cukup banyak diberikan kepada pelabur, contoh terbaharu  dalam Belanjawan 2021, memberikan cukai korporat 15% berbanding 24% untuk MNC memindahkan ibu pejabat serantau mereka," katanya. 

 

Namun, di sebalik itu, beliau berkata, masih banyak yang perlu dilaksanakan kerajaan terutama dasar-dasar Malaysia harus diubah agar selaras dengan iklim FDI semasa. 

 

Ini termasuklah, memberi tumpuan dengan menarik pelaburan daripada industri yang mempunyai nilai tambah tinggi dalam pembuatan seperti farmaseutikal, kimia, automasi dan kecerdasan pintar (AI). 

 

"Kita tidak boleh lagi bersaing dengan Vietnam dan Indonesia dari strategi kos pengeluaran yang rendah. 

 

"Malaysia sepatutnya bersaing dengan Singapura dalam konteks menarik ibu pejabat serantau MNS dan R&D berpindah ke negara ini memandangkan kos pekerja masih murah berbanding di Singapura dan mampu bertutur dalam pelbagai bahasa," jelas beliau. 

 

Pada masa sama, katanya, syarikat milik kerajaan (GLC) perlu membantu memperkasa perusahaan kecil dan sederhana (PKS) supaya menjadi jaguh serantau. 

 

"Saya berpendapat, Segi Pertumbuhan Indonesia–Malaysia–Thailand (IMTGT) dan Segi Tiga Pertumbuhan Singapura-Johor-Riau (SIJORI) perlu diaktifkan secara besar-besaran, bukan sahaja dapat meningkatkan pelaburan antara negara tetapi hubungan dagang ASEAN dapat digunakan untuk meningkatkan daya saing PKS," katanya.  

 

Baru-baru ini, Ketua Pegawai Eksekutif Lembaga Pembangunan Pelaburan Malaysia (MIDA), Datuk Azman Mahmud berkata, kerajaan ketika ini sedang merangka pelbagai inisiatif tambahan bagi memacu pelaburan asing ke negara ini. 

 

Antaranya, mempermudahkan operasi perniagaan melalui pendigitalan bagi sektor perkhidmatan kerajaan terpilih, insentif cukai kepada sektor farmaseutikal dan perkhidmatan serta pelaksanaan pusat sehenti bagi memudahkan pengembara perniagaan ke dalam negara.

 

"Struktur ekonomi dan pengurusan makroekonomi yang kukuh akan terus menyokong asas pertumbuhan ekonomi negara terutama dalam persekitaran norma baharu. Malah, MIDA juga optimistik, akan menarik lebih banyak pelaburan berkualiti ke Malaysia pada tahun-tahun akan datang," katanya. - DagangNews.com