Malaysia Rail Link terbit program Sukuk Murabahah sehingga RM10.2 bilion biayai projek ECRL | DagangNews Skip to main content

Malaysia Rail Link terbit program Sukuk Murabahah sehingga RM10.2 bilion biayai projek ECRL

Oleh NOR AZAN FITRI AHMAD HIDZIR

KUALA LUMPUR 11 Mac - Malaysia Rail Link Sdn Bhd (MRL), anak syarikat milik penuh Menteri Kewangan (Diperbadankan) menerbitkan Kertas Komersial dan Program Nota Jangka Sederhana Islam sehingga RM10.21 bilion dalam nilai nominal, dengan pilihan terbitan Sukuk Matlamat Pembangunan Mampan (SDG).

 

Syarikat itu dalam satu kenyataan berkata, program Sukuk Murabahah itu akan memberi peluang kepada pelabur untuk mengambil bahagian dalam inisiatif yang bertujuan membiayai sebahagian daripada pembinaan projek Laluan Rel Pantai Timur (ECRL).

 

Katanya, program itu merangkumi tiga kemudahan kredit pusingan yang direka bentuk mematuhi kedua-dua prinsip kewangan konvensional dan Islamik daripada pelbagai institusi kewangan tempatan dan disokong oleh penyertaan 10 institusi kewangan.

 

Syarikat itu menambah, Rangka Kerja Sukuk SDG telah diberikan Penilaian Impak Emas oleh MARC Ratings Bhd.

 

Ketua pegawai eksekutif MRL, Darwis Abdul Razak berkata, program itu menandakan usaha berterusan bagi memasukkan kewangan Islam ke dalam projek infrastruktur yang besar.

 

“Kami gembira Sukuk SDG MRL juga secara sinergi memajukan amalan alam sekitar dalam bidang kewangan dan pembangunan infrastruktur serta memenuhi keperluan berbeza pihak berkepentingan kerajaan dan swasta serta merentasi pelbagai sektor,” katanya.

 

ECRL merupakan projek usaha sama antara Malaysia Rail Link dan China Communications Construction (CCCC). Laluan sepanjang 665 km itu bermula dari Kota Bharu ke Pelabuhan Klang dan mempunyai 59 terowong, dan akan menelan belanja RM50.27 bilion.

 

MRL berkata, projek itu dibiayai oleh gabungan pinjaman mudah oleh Bank Eksport–Import China dan terbitan Sukuk oleh institusi kewangan tempatan.

 

"Ia dijadualkan siap pada Disember 2026 dan dijangka menghubungkan Kota Bharu ke ITT (Terminal Pengangkutan Bersepadu) Gombak dalam masa empat jam berbanding tujuh jam dengan pengangkutan jalan raya atau lebih 12 jam pada musim perayaan,” katanya. - DagangNews.com