Malaysia tidak akan alami kemelesetan ekonomi - Gabenor BNM | DagangNews Skip to main content

Malaysia tidak akan alami kemelesetan ekonomi - Gabenor BNM

Oleh NOR AZAN FITRI AHMAD HIDZIR

KUALA LUMPUR 10 Feb - Gabenor Bank Negara Malaysia, Tan Sri Nor Shamsiah Mohd Yunus menolak sebarang kemungkinan Malaysia akan mengalami kemelesetan eknomi pada 2023.

 

Beliau berkata, perkara itu adalah kerana ekonomi global mencatatkan perkembangan yang sangat positif di samping peningkatan pasaran dalam pekerjaan.

 

Selain itu, pelaburan pihak swasta dan kemasukan pelaburan langsung asing (FDI) yang tinggi sekali gus meletakkan Malaysia di landasan yang sangat baik untuk terus mencatatkan perkembangan.

 

"Malaysia tidak akan mengalami sebarang kemelesetan. Ekonomi negara akan terus berkembang pada kadar yang lebih sederhana kerana permintaan luar yang lebih perlahan, tetapi ia masih akan disokong oleh permintaan domestik.

 

"Perkara penting yang ingin saya tekankan ialah kita melihat peningkatan berterusan dalam pasaran pekerjaan dan negara akan mendapat manfaat daripada kesan positif daripada pembukaan semula China," katanya pada sidang media mengumumkan prestasi ekonomi suku keempat 2022, hari ini.

 

Nor Shamsiah berkata, kerajaan juga sebelum ini menekankan bahawa angka pelaburan yang kukuh di samping pemulihan berbentuk V bagi aktiviti pelancongan dan ia dilihat mencukupi untuk mengimbangi penyederhanaan dalam pasaran eksport kesan daripada pertumbuhan global yang perlahan.

 

Sementara itu beliau berkata, pihaknya melihat beberapa risikio nyang bakal mengganggu pertumbuhan seperti ketegangan geopolitik, kemunculan semula gangguan rantaian bekalan yang ketara dan kadar faedah yang lebih tinggi di peringkat global.

 

Pada masa sama, kerajaan perkembangan Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) negara anakan menyederhana antara 4% hingga 5% untuk tahun ini.

 

"Bagaimanapun unjuran ekonomi terkini hanya akan diumumkan oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim ketika pembentangan semula Bajet 2023 pada 24 Februari ini," katanya. - DagangNews.com