Malaysia tidak boleh ketinggalan capai negara berpendapatan tinggi | DagangNews Skip to main content

Malaysia tidak boleh ketinggalan capai negara berpendapatan tinggi

 

 

Oleh ZUNAIDAH ZAINON
zunaidah@dagangnews.com

 

KUALA LUMPUR 16 Mac - Malaysia dijangka beralih kepada negara berpendapatan tinggi antara 2024 dan 2028, menurut Bank Dunia dalam laporannya,  Aiming High – Navigating the Next Stage of Malaysia’s Development yang dikeluarkan hari ini. 

 

Malah, Bank Dunia menjangkakan negara akan melepasti paras ambang negara berpendapatan tinggi menjelang 2025 dengan mengunjurkan ekonomi Malaysia akan terus berkembang pada kadar pertumbuhan. 

 

Sepanjang tempoh itu, kadar tukaran ringgit berbanding dolar Amerika Syarikat (AS) juga kekal tidak berubah sekitar RM4, jelas laporan berkenaan.

 

Menurutnya, dalam mencapai matlamat itu, banyak pembaharuan perlu dilaksanakan bagi meletakkan negara dalam kalangan negara ekonomi maju dan membangun. 

 

Pada 2020, pendapatan negara kasar (PNK) per kapita Malaysia berada pada AS$11,200, iaitu kurang kira-kira AS$1,335 daripada tahap ambang semasa yang menentukan peralihan kepada ekonomi berpendapatan tinggi.

 

PNK Malaysia telah meningkat hampir 4 kali ganda sejak negara menyertai kumpulan negara ekonomi berpendapatan tinggi pertengahan pada 1992.

 

Sejak itu, kemajuan yang dicapai semakin perlahan di sebalik pertumbuhan berterusan dengan pendapatan dalam mata wang ringgit, sebahagian besarnya disebabkan oleh kelemahan ringgit berbanding dolar AS, sejak kebelakangan ini. 

 

Dalam masa sama, pandemik COVID-19 yang menyebabkan kemerosotan ekonomi tahun lalu akan terus memperlahankan kemajuan ke arah paras ambang pendapatan tinggi.

 

Tetapi, bagi Bank Dunia, negara masih mempunyai peluang untuk melaksanakan pembaharuan ekonomi yang berani bagi mengekalkan pertumbuhan masa depan dan dapat memberi manfaat kepada segenap lapisan masyarakat. 

 

Ketika ini, terdapat 80 negara berada dalam kategori ekonomi berpendapatan tinggi, berbanding 50 sahaja sekitar 1990-an dengan bahagian penduduk dunia yang tinggal dalam negara-negara ini kekal tidak berubah kira-kira 16%. 

 

Berdasarkan laporan itu, Malaysia dilihat bergerak agak perlahan berbanding negara-negara lain yang sudah mencapai status negara berpendapatan tinggi sejak akhir-akhir ini. 

 

"Berbanding dengan negara lain yang sudah keluar daripada status negara berpendapatan pertengahan, negara mempunyai  bahagian yang rendah bagi pekerjaan berkemahiran tinggi dan tahap ketidakseimbangan yang tinggi. 

 

"Jika dibuat perbandingan dalam kalangan negara Pertubuhan Kerjasama dan Pembangunan Ekonomi (OECD), Malaysia kurang membuat kutipan cukai, perlindungan sosial dan kurang mengambil tindakan berkesan dari segi pengurusan alam sekitar dan mengawal rasuah.

 

"Sebahagian besar kelemahan ini terdedah dengan ketara sewaktu negara berdepan pandemik COVID-19," menurut laporan itu. 

 

 

Victoria Kwakwa
Victoria Kwakwa

 

 

Dalam ucapan pelancaran laporan itu pagi tadi, Naib Presiden Serantau Kumpulan Bank Dunia, Victoria Kwakwa berkata, model pembangunan yang dilaksanakan Malaysia sejak berdekad lalu tidak mencukupi untuk membantu Malaysia memacu pertumbuhan seterusnya. 

 

"Ini memerlukan pendekatan dasar dan institusi yang berbeza untuk meningkatkan kualiti, keterangkuman dan kemapanan pertumbuhan ekonomi pada masa hadapan. 

 

"Malah, negara juga perlu mencari kaedah terbaik bagi merangsang pertumbuhan ekonomi, meningkatkan daya saing, mewujudkan pekerjaan berkualiti tinggi, memperkukuhkan institusi dan memantapkan kapasiti bagi membiayai peralihan ke arah negara membangun dan berpendapatan tinggi," jelasnya.

 

Beliau menggariskan 6 perkara yang perlu dicapai negara sekiranya tidak mahu ketinggalan berbanding negara maju dan berpendapatan tinggi lain.

 

  • Melabur dalam pembangunan modal insan dan meningkatkan kadar penyertaan wanita dalam pasaran buruh bagi memacu pertumbuhan jangka panjang Malaysia

 

  • Malaysia perlu mempergiatkan usaha pembaharuan bagi merangsang daya saing dan meningkatkan produktiviti sektor swasta merentasi semua sektor ekonomi

 

  • Membuat pelaburan dalam meningkatkan kecanggihan teknologi terutama bermula sejak dari sekolah lagi dan juga melibatkan program kemahiran semula dalam kalangan tenaga kerja sedia ada bagi menjana lebih banyak pertumbuhan pendapatan tinggi pekerjaan berkualiti tinggi

 

  • Malaysia perlu meneliti lebih lanjut bagaimana kualiti institusi dan perkhidmatan sektor awam dapat ditingkatkan sejajar dengan jangkaan perkembangan golongan kelas menengah

 

  • Wujud keperluan untuk memacu pertumbuhan inklusif menerusi kontrak sosial yang akan memperkukuhkan keseimbangan dari segi peluang dan meritokrasi dalam pendidikan, pekerjaan dan menjalankan perniagaan

 

  • Melaksanakan pelaburan bagi peralihan kepada negara berpendapatan tinggi dan maju yang memerlukan usaha lebih baik bagi meningkatkan pendapatan sektor awam dan menggunakan sumber lebih cekap dan bersasar. 

 

Beliau berkata, Malaysia mempunyai aspirasi untuk meletakkan negara dalam kalangan negara berpendapatan tinggi dan maju dan ia mempunyai ciri-ciri yang diperlukan untuk mara ke hadapan. 

 

"Namun, sama ada Malaysia berjaya melangkah lebih tinggi, memerlukan pendekatan yang lebih berani dan pembaharuan yang lebih berpandangan jauh," tegasnya. 

 

 

Richard Record
Richard Record

 

 

Sementara itu, Ketua Ekonomi Kumpulan Bank Dunia, Richard Record dalam pembentangan laporan itu berkata, Malaysia memerlukan kontrak sosial yang lebih maju bagi memacu pertumbuhan ke arah negara maju dan berpendapatan tinggi. 

 

"Tidak semestinya apa yang berjaya pada masa lalu, akan berjaya pada masa hadapan. Jadi, Malaysia perlu meningkatkan kontrak sosial yang lebih baik dan perlu mengambil kira lebih banyak kepelbagaian dari segi insentif dan lebih dinamik," katanya. 

 

Lebih penting, jelas beliau, negara perlu memastikan pembangunan ekonomi yang lebih meluas dapat dicapai dengan memberi tumpuan kepada kualiti dan bukannya kuantiti. 

 

Ini kerana, katanya, pertumbuhan ekonomi bukan sahaja melibatkan peningkatan pendapatan per kapita tetapi yang lebih penting setiap rakyat boleh menikmati kebebasan dan keupayaan yang boleh menentukan pilihan mereka sendiri. - DagangNews.com