KUALA LUMPUR 30 Ogos - Malaysian Genomics Resource Centre Berhad, pakar genomik dan biofarmaseutikal terkemuka, melaporkan perolehan sebanyak RM6.33 juta bagi suku keempat berakhir 30 Jun 2022 (4Q FY2022) berbanding kerugian RM0.07 juta pada suku yang sama tahun kewangan sebelumnya (4Q FY2021).
Pencapaian tersebut didorong sumbangan yang lebih tinggi daripada perniagaan biofarmaseutikal dan pertumbuhan organik berterusan perniagaan ujian genetik.
Kumpulan mencatatkan keuntungan sebelum cukai (PBT) sebanyak RM2.97 juta bagi suku dalam tinjauan berbanding kerugian sebelum cukai (LBT) sebanyak RM2.11 juta pada 4Q 2021 disebabkan margin keuntungan yang lebih tinggi daripada perniagaan biofarmaseutikal serta pemantauan kos yang cekap.
Bagi tahun kewangan berakhir 30 Jun 2022 (FY2022), Malaysian Genomics mencatatkan hasil sebanyak RM28.36 juta, iaitu peningkatan sebanyak RM26.58 juta berbanding RM1.78 juta yang dilaporkan dalam tempoh yang sama tahun kewangan sebelumnya (FY2021).
Ia juga didorong oleh pertumbuhan perniagaan biofarmaseutikal yang terdiri daripada imunoterapi dan terapi sel serta produk dan perkhidmatan berkaitan COVID-19.
Kumpulan merekodkan PBT sebanyak RM6.18 juta untuk FY2022 berbanding LBT sebanyak RM4.29 juta pada FY2021 terutamanya disebabkan oleh hasil yang lebih tinggi hasil daripada margin yang lebih tinggi serta kecekapan kos.
Perolehan sesaham untuk 4Q 2022 berjumlah 3.25 sen berbanding kerugian sesaham sebanyak 1.94 sen pada suku yang sama tahun kewangan sebelumnya.
Ketua Pegawai Eksekutif Malaysian Genomics, Sasha Nordin berkata, “Kami terus melihat peningkatan dalam prestasi kewangan Kumpulan, dan ini disebabkan oleh pengenalan perkhidmatan biofarmaseutikal serta dorongan agresif kami untuk memasarkan perkhidmatan ujian genetik.
"Menjelang penghujung suku tahun yang ditinjau, kami memperoleh 51% kepentingan dalam pengendali dialisis buah pinggang Aquahealth Sdn Bhd di mana kami berhasrat untuk memperkenalkan pendekatan holistik kepada penjagaan kesihatan buah pinggang melalui rangkaian produk dan perkhidmatan kami.
"Kami juga mempunyai rancangan untuk membuka lebih banyak pusat seumpama itu di seluruh Malaysia memandangkan unjuran peningkatan bilangan pesakit buah pinggang,” kata beliau.
Malaysian Genomics kata beliau juga berkembang di Asia Tenggara dan Timur Tengah dengan beberapa siri perjanjian yang ditandatangani baru-baru ini di mana syarikat bekerjasama dengan rakan kongsi tempatan untuk mempromosikan, memasarkan dan mengedarkan perkhidmatan ujian biofarmaseutikal dan genetik," kata beliau. - DagangNews.com