Malindo Air sertai percubaan Pas Perjalanan IATA | DagangNews Skip to main content

Malindo Air sertai percubaan Pas Perjalanan IATA

Malindo Air

Oleh MUHAMMAD ARIEF CHE SOH
arief@dagangnews.com

 

 

KUALA LUMPUR 15 Jun - Syarikat penerbangan Malindo Air akan memulakan percubaan Pas Perjalanan Persatuan Pengangkutan Udara Antarabangsa (IATA) bagi penerbangan terpilih.

 

Pas Perjalanan IATA merupakan aplikasi mudah alih yang membantu penumpang menguruskan perjalanan dengan mudah dan selamat seiring keperluan kerajaan berkaitan maklumat ujian dan vaksin COVID-19.

 

Ketua Pegawai Eksekutif Malindo Air, Kapten Mushafiz Mustafa Bakri berkata, pihaknya sangat gembira dapat bekerjasama dengan IATA dan menjadi salah satu pelopor di rantau ini dalam mencuba insiatif berkenaan. 

 

"Keupayaan untuk memproses data yang relevan bagi penumpang COVID-19 yang dibuat secara digital akan menjadi pemacu kepada kejayaan kumpulan.

 

"Kami akan menyokong pengenalan inisiatif lain dalam meningkatkan lagi pengalaman pelanggan," jelas beliau dalam satu kenyataan hari ini.

 

Susulan itu, penumpang pertama yang terpilih dalam salah satu penerbangannya akan diuji kelayakan kesihatan secara digital.

 

Ujian itu dibuat untuk mengesahkan dan berkongsi status ujian COVID-19 sebelum memulakan perjalanan dengan Malindo Air.

 

Tambah beliau, ujian itu adalah langkah untuk menjadikan perjalanan lebih mudah selain membolehkan pelancong menguruskan dokumentasi berkaitan COVID-19 secara digital, selamat dan lancar sepanjang perjalanan.

 

"Penumpang yang layak akan dibenarkan untuk memuat turun aplikasi dan mendaftar pas perjalanan digital sebelum melakukan perjalanan.

 

"Di Kuala Lumpur, Malindo Air telah bekerjasama dengan makmal Penjagaan Kesihatan terpilih untuk menghantar keputusan ujian kepada penumpang melalui aplikasi dengan selamat," tambahnya. 

 

Mengulas lanjut, beliau memberitahu, percubaan yang dibuat dalam penerbangan terpilih itu diharapkan dapat dilancarkan di semula laluan antarabangsa. - DagangNews.com