PUTRAJAYA 8 Okt. - Unit Pemodenan Tadbiran dan Perancangan Pengurusan Malaysia (MAMPU) membuka permohonan bagi cadangan (RFP) untuk mendapatkan cadangan daripada para pembekal bagi menawarkan perkhidmatan public cloud kepada kerajaan.
Menurut MAMPU, syarikat yang berkemampuan dan mempunyai teknologi bersesuaian dengan keperluan penggunaan agensi kerajaan dalam memberi perkhidmatan menyeluruh dan sempurna kepada rakyat boleh mengambil bahagian dan mengemukakan tawaran masing-masing untuk pertimbangan kerajaan.
Katanya, pembekal Perkhidmatan Pengkomputeran Awan yang menyertai RFP ini akan dinilai dan syarikat yang berjaya akan dilantik sebagai panel pembekal pengkomputeran awan melalui mekanisme mirip kepada Kontrak Panel Berpusat.
"Melalui kaedah ini, perkhidmatan panel tersebut tersedia untuk dilanggan oleh agensi kerajaan," katanya dalam kenyataan hari ini.
Permohonan itu ditawarkan secara terbuka mulai 15 September lalu dan berakhir 12 Oktober ini, pukul 12 tengah hari.
MAMPU menyediakan perkhidmatan pengkomputeran awan kepada sektor awam melalui MyGovCloud@PDSA sebagai Government Private Secured Cloud yang boleh menampung hampir 25% daripada keperluan perkhidmatan pengkomputeran awan dalam sektor awam.
Kerajaan berhasrat supaya public cloud iaitu perkhidmatan pengkomputeran awan menjadi pelengkap kepada MyGovCloud@PDSA bersama pengkomputeran awan secara hibrid dalam tempoh lima tahun akan datang.
Pada masa sama, kerajaan juga menubuhkan Jawatankuasa Pengkomputeran Awan atau dikenali sebagai Cloud Computing Committee (CCC) sebagai badan penasihat berkaitan pengkomputeran awan dalam sektor awam.
"Jawatankuasa yang dipengerusikan secara bersama oleh MAMPU dan Kementerian Komunikasi dan Multimedia menentukan aspek tadbir urus, perolehan, keselamatan, perundangan dan teknikal bagi melaksanakan perkhidmatan pengkomputeran awan dalam sektor awam," katanya.
Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin, 15 Ogos lalu mengumumkan syarikat-syarikat multinasional seperti Google, Amazon dan Microsoft turut menunjukkan minat untuk melibatkan diri dalam pelaburan di Malaysia bagi menyediakan perkhidmatan pengkomputeran awan.
Untuk itu, MAMPU telah mengadakan sesi libat urus dengan beberapa syarikat yang membekalkan perkhidmatan pengkomputeran awan dari dalam dan luar negara bagi mendapatkan perkhidmatan yang sesuai dengan kerajaan. - DagangNews.com