Langkawi Sky Bridge, satu daripada tarikan pelancongan di Pulau Langkawi, Kedah.
Oleh Tan Ming Luk,
Naib Presiden & Ketua Negara OYO Malaysia & Singapura
MEMANDANGKAN program vaksinasi COVID-19 sedang dilaksanakan dan negara mula mencatatkan penurunan kes berbanding tahap tertinggi semasa gelombang ketiga, inilah masa yang paling sesuai untuk semua segmen masyarakat menyumbang ke arah usaha mencapai sasaran Kementerian Kesihatan bagi terus menurunkan jumlah kes baru kepada dua digit menjelang penghujung Mei 2021.
Bagi OYO, kami yakin dapat menyumbang ke arah mencapai matlamat tersebut dengan kekuatan kami dalam menyediakan penginapan yang selamat, bersih dan mampu milik, merangkumi rangkaian lebih daripada 20,000 hotel di 75 bandar serta pekan di seluruh Malaysia.
Selaras dengan pelan Kerajaan Persekutuan dan Negeri untuk menubuhkan pusat-pusat kuarantin COVID-19 di seluruh negara, kami turut menawarkan hotel-hotel OYO sebagai penginapan untuk semua petugas barisan hadapan yang bertugas di pusat-pusat berkenaan.
Memiliki rangkaian yang luas, kami yakin bahawa tidak kira di mana pusat kuarantin itu dibuka, pastinya ada sebuah hartanah OYO yang berdekatan – amat sesuai untuk memendekkan jarak serta masa perjalanan ulang alik oleh petugas barisan hadapan yang kepenatan dan memastikan mereka mempunyai tempat penginapan yang bersih untuk berehat dan mengembalikan tenaga dengan mudah selepas seharian bekerja.
Sememangnya, kami amat gembira dengan maklum balas yang diterima daripada para pemilik hartanah OYO, dengan lebih daripada 70% hartanah menyuarakan minat untuk menerima tempahan daripada petugas barisan hadapan yang bekerja di pusat kuarantin dan juga mereka yang terlibat dalam program vaksinasi awam apabila ia dilancarkan secara besar-besaran kelak.
Program Penginapan Sanitasi atau ‘Sanitized Stay’ kami yang sedia ada dan pengalaman kami dalam menyediakan pusat isolasi COVID-19 menjadikan kami lebih bersedia untuk menawarkan khidmat penginapan kepada petugas barisan hadapan kita.
Mengekang kluster tempat kerja
Dalam usaha mengawal COVID-19, bukan hanya petugas barisan hadapan yang memerlukan penginapan mampu milik dengan standard kebersihan dan protokol sanitasi yang ketat, di mana kakitangannya terlatih dalam protokol keselamatan dan kesihatan semasa melayani tetamu.
Bagi mereka yang mengikuti perkembangan kluster COVID-19, kita tahu bahawa kluster tempat kerja, terutamanya di kalangan mereka yang tinggal di rumah pekerja, merupakan situasi yang amat membimbangkan. Di sini, hotel mampu milik seperti yang ada di dalam rangkaian OYO amat sesuai untuk dijadikan sebagai kediaman sementara para pekerja bagi memastikan penjarakan fizikal dapat dilaksanakan secara berkesan.
Sehingga kini, kami telah berpeluang bekerjasama dengan syarikat multinasional seperti Panasonic dan Cadbury, yang menggunakan hotel OYO sebagai pusat isolasi kendiri untuk kakitangan mereka. Ia merupakan satu tindakan proaktif oleh syarikat berkenaan bagi mengelakkan atau meminimumkan gangguan terhadap operasi mereka di kawasan-kawasan yang mencatatkan jumlah kes yang tinggi, dan kami mengalu-alukan lebih banyak syarikat untuk bekerjasama dengan kami demi memastikan keselamatan para pekerja dan kelancaran operasi perniagaan mereka.
Penilaian semula gelembung perjalanan
Melihat kepada sektor pelancongan dan hospitaliti, angka terkini yang dikeluarkan oleh Tourism Malaysia menunjukkan betapa teruknya Malaysia dilanda kerugian dalam sektor pelancongan antarabangsa, dengan pengurangan 83.4% ketibaan antarabangsa pada 2020 berbanding 2019, di mana nilai perbelanjaan oleh pelancong menjunam 85.3% dalam tempoh yang sama.
Walaupun setiap negara terpaksa mengimbangi di antara keperluan ekonomi dalam membenarkan kemasukan pelancong antarabangsa dengan keperluan kesihatan awam bagi mengekang kes dan strain virus baru yang diimport, namun wujud ruang untuk mengambil pendekatan secara berhati-hati dan beransur-ansur menerusi pelaksanaan jambatan udara dan gelembung perjalanan ke lokasi-lokasi terpilih di dalam negara, berbanding terus membenarkan semua aktiviti dan kemasukan di seluruh negara sekali gus.
Kita perlu segera mencari jalan untuk membuka semula industri pelancongan secara selamat dan beransur-ansur, memandangkan para penggiat industri menjangkakan pemulihan perlahan pada hujung tahun 2022 atau pada tahun 2023 selepas sasaran program vaksinasi negara berjaya dicapai.
Dalam mendepani jangkaan persaingan sengit daripada jiran-jiran ASEAN, pengenalan insurans khas, deposit kesihatan dan garis panduan pengesanan pergerakan untuk para pelancong antarabangsa pastinya dapat membantu mengukuhkan lagi usaha pemulihan sektor pelancongan negara.
Projek Langkawi
Kami mencadangkan pulau Langkawi sebagai tempat permulaan yang terbaik. Pulau yang bergantung kepada pelancongan ini boleh mengguna pakai strategi yang disesuaikan mengikut keperluan tempatan yang tidak menelan banyak kos.
Dengan titik kemasukan yang terhad, kita boleh menghadkan kemasukan pengunjung dalam jumlah yang kecil dari kalangan mereka yang mempunyai bukti vaksinasi dan lulus ujian COVID-19 sebelum memasuki pulau tersebut.
Selepas mendarat, para pelancong akan terus pergi ke pusat peranginan mereka dan menginap di situ di sepanjang tempoh percutian mereka, dan aktiviti akan dihadkan mengikut jadual yang lebih ringkas, di mana aktiviti luar hanya dibuka kepada tetamu berdaftar, seperti menaiki bot untuk mengikuti aktiviti snorkeling, menyelam dan memancing.
Selain daripada pelancongan yang bertumpukan pusat peranginan, kami juga mahu semua hotel di Langkawi, daripada hotel bajet hinggalah hotel mewah, dan semua perniagaan lain turut mendapat manfaat daripada program ini, oleh itu langkah melindungi penduduk Langkawi dengan vaksinasi juga sangat penting.
Dengan jumlah penduduk kira-kira hanya 111,500, semua penduduk Langkawi yang layak boleh diberi vaksin dalam tempoh sebulan. Permulaan ke arah pemulihan sektor pelancongan seperti ini juga dapat membantu syarikat penerbangan tempatan dan pengendali lapangan terbang beransur-ansur pulih setelah mencatatkan penurunan sebanyak 75.7% daripada jumlah penumpang udara pada tahun 2020.
Sudah pastinya, kita semua teruja apabila mendengar pengumuman Menteri Pelancongan, Seni dan Budaya, Dato’ Sri Nancy Shukri baru-baru ini mengenai rancangan untuk memperkenalkan gelembung perjalanan di antara Langkawi dan Indonesia; bekerjasama dengan rakan syarikat penerbangan untuk mempromosikan destinasi Malaysia dan juga membincangkan kemungkinan untuk mewujudkan gelembung perjalanan dengan negara China.
Pengumuman oleh menteri bahawa kerajaan sedang mempertimbangkan pengeluaran pasport vaksin Covid-19 kepada mereka yang telah menerima vaksin, bagi mengurangkan sekatan perjalanan dan memulihkan sektor penerbangan di rantau ini juga amat dialu-alukan.
Akhir kata, industri hospitaliti dan pelancongan sentiasa bersedia untuk membantu anggota masyarakat kita di saat-saat memerlukan, termasuk di sepanjang tempoh pandemik ini, dan kami komited untuk meneruskan usaha sedemikian.
Kami berharap akan adanya pelaksanaan lebih banyak lagi pelan menerusi kerjasama awam-swasta bagi menyokong fasa pemulihan yang seterusnya semasa seluruh negara berpadu tenaga mengatasi segala cabaran ini. - DagangNews.com