MARC sahkan penarafan Gas Malaysia Distribution dengan prospek stabil | DagangNews Skip to main content

MARC sahkan penarafan Gas Malaysia Distribution dengan prospek stabil

 

 


KUALA LUMPUR 11 Ogos - Malaysian Rating Corporation (MARC) mengesahkan penarafan dengan prospek stabil ke atas nota hutang hingga RM1 bilion bagi anak syarikat Gas Malaysia Bhd., Gas Malaysia Distribution Sdn. Bhd. 

 

Agensi penarafan itu berkata, ia mengesahkan penarafan AAAIS/MARC-1IS membabitkan program Nota Jangka Sederhana (IMTN) dan Nota Komersial Islamik. 

 

Katanya, penafaran itu diberi berikutan penjanaan pendapatan Gas Malaysia Distribution yang stabil dari pengedaran gas di seluruh Semenanjung Malaysia menerusi sistem pengedaran gas asli (NGDS) yang dimilikinya dan hampir memonopoli kedudukan tersebut.

 

"Malah, penarafan ini juga disokong oleh kerangka kerja kawal selia berdasarkan insentif (IBR) di mana risiko pendapatan dapat dikurangkan," katanya dalam kenyataan hari ini. 

 

Pengedaran gas aslinya terjejas dengan perintah kawalan pergerakan (PKP) yang memberi kesan kepada permintaan pelanggan. 

 

Ia menyaksikan kira-kira 205.2 juta MMBtu gas diedarkan pada tahun lalu, iaitu 7.3% lebih rendah daripada unjuran. 

 

MARC berkata, di bawah kerangka IBR, syarikat ini juga berupaya kembali pulih dengan meraih pendapatan kira-kira RM31.1 juta melalui pelarasan kenaikan tarif pengagihan purata kepada RM2.05 per MMBtu untuk tempoh antara 1 April dan 31 Disember 2021, dari RM1.88 setiap MMBtu sebelumnya.

 

Gas Malaysia Distribution merekodkan keuntungan sebelum cukai berjumlah RM209.8 juta dengan margin kos operasi yang tinggi pada 53.6%. 

 

Selain itu, ia juga merekodkan aliran tunai yang kukuh menerusi operasinya (CFO) sebanyak RM214.2 juta dengan dengan perlindungan faedah CFO dan kedudukan hutang yang baik sebanyak 16.63 kali dan 0.51 kali. 

 

Menurut MARC, pada 2020, sebanyak RM171.1 juta perbelanjaan modal (capex) menyumbang 89.8% capex terancang dengan bahagian yang tidak digunakan dibawa ke 2021.

 

"Walaupun capex sebenar adalah lebih rendah daripada capex yang dirancang di bawah Tempoh Kawal Selia 1 (RP1 : 2020-2022), tetapi pembukaan aset terkawal Gas Malaysia Distribution di bawah RP2 (2023-2025), sebahagiannya akan menentukan pulangan yang dikawal selia, lebih rendah daripada yang diunjurkan," katanya. - DagangNews.com